TDM nafi buang pekerja tempatan ganti pekerja asing

Hamdan (lima dari kiri) dan Mohd Hafiz (lima dari kanan) ketika pertemuan bersama bekas pekerja Ladang Air Putih di Balai Raya Kampung Teladas, di Kemaman pada Rabu.
Hamdan (lima dari kiri) dan Mohd Hafiz (lima dari kanan) ketika pertemuan bersama bekas pekerja Ladang Air Putih di Balai Raya Kampung Teladas, di Kemaman pada Rabu.
A
A
A

KEMAMAN - Anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, TDM Plantation Sdn Bhd (TDM) menafikan dakwaan bahawa pihaknya membuang pekerja tempatan dan menggantikan dengan pekerja asing.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hamdan Ibrahim berkata, dakwaan bahawa TDM menamatkan kontrak secara tergesa-gesa tidak berlaku sebaliknya pihak syarikat telah menangguhkan tindakan itu sehingga masalah dihadapi pihak kontraktor diselesaikan terlebih dahulu.

"Kita telah beberapa kali memberi peluang sejak setahun lalu dengan memperbaharui kontrak tiga bulan sekali supaya kontraktor dapat menyelesaikan masalah pekerja seperti yang terkandung dalam akta buruh.

"Langkah yang diambil ini bagi membolehkan kontraktor berkenaan membuat pendaftaran dan caruman pekerja mereka dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

"Mereka boleh bekerja semula apabila urusan pendaftaran dengan KWSP dan PERKESO selesai. TDM boleh memberi kontrak setahun sekali dan bukan lagi tiga bulan sekali seperti sekarang," katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan bekas pekerja Ladang Air Putih, Kemaman di Balai Raya Kampung Teladas dekat sini pada Rabu.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam; Pengurus Ladang TDM Air Putih, Yusri Yusuf, kontraktor dan bekas pekerja kontrak ladang berkenaan.

Menurut Hamdan, TDM terpaksa mematuhi amalan persijilan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari atau Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO) yang diaudit juruaudit antarabangsa untuk menjaga kedua-dua ladang TDM di Kemaman dan Sungai Tong, Setiu.

Katanya, sekiranya mereka gagal mematuhi RSPO itu, minyak sawit tidak dapat dijual di peringkat antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, berhubung harga upah mengait buah yang terpaksa diturunkan, ia bergantung kepada harga minyak sawit semasa dunia.

Katanya, penurunan ini bukan sahaja berlaku di Kemaman malah turut melibatkan 32 syarikat kontraktor TDM yang lain.

"TDM ada menawarkan peluang pekerjaan kepada pekerja kontrak yang terjejas jika mereka ingin menyertai, namun kita lebih sarankan supaya kontraktor menyambung kembali kontrak mereka mengambil pekerja.

“Melalui CSR (tanggungjawab sosial korporat), TDM menawarkan kepada masyarakat setempat yang memiliki kebun kelapa sawit di bawah 10 ekar untuk mendapat khidmat nasihat berkaitan cara memilih benih, memilih baja, menanam dan sebagainya dengan mendaftar sebagai Sahabat TDM, "ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Ladang TDM Air Putih, Yusri Yusuf berkata, Ladang TDM Air Putih kini mempunyai seramai 120 pekerja tetap dan 37 orang pekerja kontrak.

Awal Oktober lalu wujud desas-desus mengatakan TDM telah menamatkan serta-merta kontrak bersama pekerja tempatan tanpa memberikan alasan kukuh.

Tindakan itu didakwa telah menyebabkan lebih 40 pekerja anak tempatan telah kehilangan pekerjaan.