Petronas taja 107 anak Terengganu cemerlang SPM sambung pengajian

Nor Kamilah (dua dari kanan) bersama pelajar cemerlang yang menerima tajaan pendidikan Petronas yang disampaikan dalam sebuah majlis di ibu negara, baru-baru ini.
Nor Kamilah (dua dari kanan) bersama pelajar cemerlang yang menerima tajaan pendidikan Petronas yang disampaikan dalam sebuah majlis di ibu negara, baru-baru ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Petronas menaja seramai 107 anak Terengganu cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di bawah Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP) pada tahun ini.

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly berkata, pelajar tersebut adalah sebahagian daripada 600 pelajar cemerlang SPM 2022 seluruh negara yang menerima tajaan bernilai RM340 juta.

"Langkah ini merupakan komitmen berterusan syarikat di dalam aspek pembangunan modal insan negara. Petronas juga telah memperluaskan penajaan merangkumi bidang sains data dan kejuruteraan data.

"Kita yakin bahawa pelaburan di dalam bidang pendidikan melalui akses kepada pendidikan berkualiti bukan sahaja mampu membantu menghasilkan tenaga kerja profesional, bahkan menyumbang kepada pembangunan negara pada masa depan," katanya di sini, pada Rabu.

Menurutnya, pelajar terpilih bakal mengikuti kursus di dalam bidang kejuruteraan kimia, kejuruteraan petroleum, kejuruteraan mekanikal, geofizik, perakaunan, pemasaran dan undang-undang.

Selain itu, katanya, setiap pelajar akan menerima tajaan pengajian asasi sehingga ijazah pertama di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Perak serta universiti-universiti tempatan dan luar negara seperti di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, New Zealand, China, Jepun dan Korea Selatan.

Sementara itu, seorang pelajar, Nor Kamilah Aina Mohamad Kamal, 18, berkata, dia bersyukur kerana terpilih menerima tajaan pendidikan Petronas dan akan melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan kimia di luar negara.

Katanya, bantuan itu dapat meringankan perbelanjaan dia sekeluarga memandangkan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Artikel Berkaitan:

"Ibu bekerja sebagai pembantu kedai makan manakala ayah pula bekerja sebagai pembantu operasi di sekolah dengan pendapatan kedua mereka sekitar RM2,500 sahaja sebulan.

"Saya bersyukur sebab Petronas telah sediakan kemudahan penginapan untuk saya mengikuti pengajian asasi Cambridge A-Level di Taylor’s University ketika ini serta duit poket yang cukup untuk menampung perbelanjaan bulanan.

"Saya akan memanfaatkan tajaan ini sebaik mungkin untuk mengubah nasib keluarga menjadi lebih baik dengan peluang yang di berikan ini," katanya.

Untuk rekod, program tajaan pendidikan Petronas mula dilaksanakan pada 1975 dan kini telah memberi manfaat kepada lebih daripada 38,000 orang pelajar Malaysia dengan nilai perbelanjaan lebih RM3.5 bilion.