Suntik semangat pelajar lepasan SPM sambung pengajian

Shafruddin (empat dari kanan) bersama Baidzawi (empat dari kiri) dan para jemputan pada Majlis Selangkah ke Menara Gading yang diadakan di Kuala Terengganu pada 4 Jun lalu.
Shafruddin (empat dari kanan) bersama Baidzawi (empat dari kiri) dan para jemputan pada Majlis Selangkah ke Menara Gading yang diadakan di Kuala Terengganu pada 4 Jun lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disarankan untuk tidak berhenti separuh jalan sebaliknya meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi demi menjamin masa depan yang lebih cerah.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Shafruddin Ali Hussin berkata, peluang yang ada untuk menyambung pengajian perlu dimanfaatkan sebaik mungkin sebagai persiapan untuk mendepani cabaran kehidupan pada masa akan datang.

"Pengukuhan aspek akademik dan melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi penting bagi memberikan perubahan kepada set minda (pemikiran).

"Ia juga dilihat dapat mengekang isu kemiskinan pada masa hadapan," katanya ketika menyempurnakan Majlis Selangkah ke Menara Gading yang diadakan sempena Karnival Jom Masuk ‘U’ 2023 bagi Zon Timur dengan disertai seramai 200 pelajar.

Majlis itu diadakan bagi memberi pendedahan dan maklumat mengenai peluang pendidikan serta laluan kerjaya kepada para pelajar melalui kerjasama strategik antara ECERDC dan Yayasan Petronas di bawah program Memperkasakan Ilmu: Yayasan Petronas empower ECER Akademik.

Ia juga bertujuan menyuntik motivasi kepada mereka untuk melanjutkan pendidikan ke tahap yang lebih tinggi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Baidzawi Che Mat dan Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, M Ahmad Shazly.

Sementara itu, Baidzawi berkata, program yang kali pertama diadakan bagi pelajar SPM Sesi 2022/2023 itu telah memberi manfaat kepada 600 pelajar SPM di 16 sekolah di daerah Besut, Terengganu; Mersing, Johor serta jajahan Kuala Krai di Kelantan.

“Majlis Selangkah ke Menara Gading yang dianjurkan sempena Karnival Jom Masuk U 2023 (Zon Timur) amat bertepatan dengan hasrat kami untuk memastikan para peserta Memperkasakan Ilmu: Program Yayasan Petronas empower ECER Akademik tidak berhenti belajar setakat SPM sahaja.

"Sebaliknya mereka disarankan untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi sama ada ke universiti atau institusi kemahiran demi mengubah dan meningkatkan tahap kesejahteraan keluarga pada masa hadapan," katanya.

Pada majlis tersebut, empat pelajar dari sekolah di Besut di bawah kelolaan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta lima pelajar dari sekolah di jajahan Kuala Krai, Kelantan yang dikelolakan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerima sijil.

Pelajar yang terpilih itu adalah pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan percubaan SPM selepas mengikuti program berkenaan.