Kontraktor didenda RM23,000, dikenakan penalti khas RM1.28 juta

Yusof didenda RM23,000 dan dikenakan penalti khas RM1.824 juta kerana gagal mengemukakan borang pendapatan bercukai bagi tahun 2019, 2020 dan 2021.
Yusof didenda RM23,000 dan dikenakan penalti khas RM1.824 juta kerana gagal mengemukakan borang pendapatan bercukai bagi tahun 2019, 2020 dan 2021.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa menjatuhkan hukuman denda RM23,000 dan penalti khas RM1.284 juta terhadap seorang pengarah syarikat kontraktor pembinaan dan penyelenggaraan setelah gagal mengemukakan penyata pendapatan bercukai taksiran tiga tahun berturut-turut.

Majistret Nur Fatin Mohamad Farid menjatuhkan hukuman itu terhadap Yusof Ahmad, 38, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan sejurus dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, Yusof yang merupakan pengarah yang dipertanggungan selaras dengan Seksyen 75 ACP 1967 kepada Syarikat EMF Energy Sdn Bhd telah gagal mengemukan Borang Nyata Cukai Pendapatan dalam Borang C.

Orang Kena Saman (OKS) itu gagal mengemukakan kepada Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam tempoh tujuh bulan dari tarikh penutupan akaun iaitu pada atau sebelum 31 Julai 2020 bagi taksiran tahun 2019 dan pada atau sebelum 31 Julai 2021 bagi taksiran 2020.

Untuk itu, OKS didapati gagal mengemukan penyata pendapatan bercukai berjumlah RM1.22 juta yang boleh dikenakan cukai sebanyak RM293,124 bagi tahun 2019.

Bagi tahun 2020 pula, tertuduh gagal mengemukan penyata pendapatan bercukai sebanyak RM562,364 yang boleh dikenakan cukai RM134,967.

Oleh demikian, terduduh didakwa telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama.

Bagi pertuduhan kedua pula, Yusof didakwa gagal mengemukakan suatu penyata pendapatan dalam Borang C bagi tahun taksiran 2021 mengenai pendapatan berkenaan syarikat yang sama.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan bagi pertuduhan kedua dibuat mengikut Seksyen 112(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Hukuman pemberat kedua-dua pertuduhan ini dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa LHDN, Mazlan Alias, manakala OKS tidak diwakili peguam.

Sementara itu Yusof dalam rayuan memohon mahkamah agar meringankan denda dan pembayaran penalti khas dibuat secara ansuran.

Mazlan dalam penghujahannya meminta agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal kerana OKS adalah pesalah cukai tegar apabila syarikat sama gagal mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan iaitu Borang C bagi tahun taksiran 2019 dan 2020.

Syarikat itu juga pernah dikompaun bagi kesalahan gagal mengemukakan Borang C bagi tahun taksiran 2003, 2009, 2015, 2016, 2017 dan 2018.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman kepada OKS bagi pertuduhan pertama iaitu denda RM15,000 dan penalti khas sebanyak RM1.284 juta dibayar secara ansuran selama 12 bulan bermula pada Selasa.

Sementara pertuduhan kedua, OKS didenda RM8,000.