Didenda, penalti lebih RM2.4 juta gagal kemuka penyata pendapatan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pengarah syarikat kitar semula didenda RM18,000 selain dikenakan penalti RM2,437,433 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas kegagalan mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2021 sehingga 2022, membabitkan cukai pendapatan bernilai lebih RM3.3 juta.

Majistret Nurzihan Abdul Rehman menjatuhkan hukuman itu terhadap Wong Siew Lian, 49, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan memerintahkan wanita itu dipenjara 12 bulan, jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Siew Lian dikehendaki bawah Seksyen 77A (1) Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk mengemukakan suatu penyata pendapatan dalam borang C bagi tahun taksiran 2021 hingga 2022 mengenai pendapatan berkenaan kepada Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Siew Lian didapati gagal mengemukakan penyata tersebut yang mempunyai pendapatan bercukai sebanyak RM1,827,149 juta bagi cukai taksiran 2021 dan RM1,558,176 juta bagi 2022, iaitu dia sepatutnya membayar cukai sebanyak RM 438,515.76 bagi 2021 dan RM373,962.24 (2022).

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya dan hendaklah membayar penalti khas tiga kali ganda amaun cukai yang sepatutnya dikenakan, jika didapati bersalah.

Terdahulu, ibu kepada lima anak itu yang tidak diwakili peguam, merayu denda yang minimum kerana masih menanggung anak yang masih bersekolah, ibu dan ibu mentua yang uzur selain telah membayar cukai pendapatan sebanyak RM60,000 (2021) dan RM60,000 (2022).

Bagaimanapun, pendakwaan yang diwakili Peguam Kanan Hasil LHDN Norhidayah Yasin memohon hukuman setimpal dikenakan ke atas Siew Lian kerana jumlah cukai yang dibayar Siew Lian iaitu sebanyak RM60,000 (2021) serta RM60,000 (2022) adalah kecil berbanding nilai sepatutnya dibayar sebanyak RM812,478.

Nurzihan kemudiannya memerintahkan Siew Lian membayar denda sebanyak RM18,000 selain membayar penalti RM2,437,433 kepada LHDN secara ansuran bermula tarikh perintah hari ini (5 Julai 2023). - Bernama