Malaysia bincang usaha tangani keadaan di Gaza dengan UAE, Brunei

Jumlah rakyat Palestin yang terbunuh dalam serangan udara Israel di Gaza sejak 7 Oktober telah meningkat kepada 2,670. Foto AFP
Jumlah rakyat Palestin yang terbunuh dalam serangan udara Israel di Gaza sejak 7 Oktober telah meningkat kepada 2,670. Foto AFP
A
A
A

ABU DHABI - [DIKEMAS KINI] Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada Ahad membuat panggilan telefon dengan rakan sejawatannya di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Brunei, berhubung perkembangan terkini di Gaza dan usaha untuk mengurangkan ketegangan serta melindungi orang awam.

Dalam perbualan dengan Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan dari UAE, kedua-dua menteri turut membincangkan kesan krisis semasa (Palestin-Israel) terhadap keselamatan dan kemanusiaan dan usaha segera untuk membuka koridor selamat bagi membolehkan bantuan perubatan dan kemanusiaan kepada orang awam yang terjejas.

"Kedua-dua menteri itu menekankan pentingnya tindakan segera untuk membendung krisis semasa dan menamatkan ekstremisme, ketegangan dan keganasan yang mencetuskan ketidakstabilan di rantau ini,” lapor Agensi Berita Emirates (WAM).

Dalam perbualan telefon dengan rakan sejawatannya dari Turkiye, Hakan Fidan, Zambry berkata kedua-dua mereka tidak sabar untuk bertemu di Jeddah, Arab Saudi untuk meneroka kemungkinan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.

"Kami berkongsi sentimen yang sama bahawa maruah rakyat Palestin mesti hormati. Kekejaman berterusan yang dilakukan oleh Israel mesti dihentikan. Malaysia dan Turkiye akan melakukan apa sahaja yang termampu untuk membantu rakyat Palestin," katanya.

Mengulas perbualannya dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres, Zambry berkata beliau menawarkan bantuan jika perlu, terutama dalam menangani keperluan kemanusiaan penduduk Gaza.

Ribuan rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak dan wanita dilaporkan terbunuh dalam serangan udara Israel di Gaza sejak 7 Okt lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan: