Bukan mudah hantar tentera Malaysia ke Palestin - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Isnin - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Isnin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan kononnya Malaysia enggan menghantar pasukan tentera bagi membantu Palestin yang kini sedang berperang dengan Israel.

Beliau menegaskan, keputusan untuk menghantar pasukan tentera bukan boleh dibuat dengan mudah kerana ia perlu mendapat persetujuan negara-negara jiran Palestin.

"Ini bukan keputusan (atau) kita boleh hantar (tentera) dengan mudah.

"Menghantar tentera termasuk pendamai atau koridor kemanusiaan itu mesti disepakati negara jiran (Palestin). Kalau tidak, pesawat kita tidak boleh mendarat," katanya di sidang Parlimen pada Isnin.

Anwar berkata, beliau tampil menjelaskan perkara itu mewakili kepimpinan ketenteraan negara ekoran ada suara-suara yang mendakwa Malaysia enggan menghantar pasukan tentera bagi membantu Gaza.

"Adalah tidak adil untuk (mana-mana pihak) dalam penyampaian mesej dan tazkirah mereka (membuat dakwaan) ini.

"Jadi kita minta ada kefahaman (yang sebenar) supaya rakyat jangan dikelirukan," tambahnya.

Ahli Parlimen Tambun itu menegaskan, dasar Malaysia mengenai Palestin kekal dan tidak akan berubah iaitu mempertahan dan memperjuang hak Palestin untuk dikembalikan hak-hak mereka akan terus menjadi tunjang dasar luar negara.

"Kita tidak akan berkompromi sehinggalah hak mutlak Palestin dikembali, hak mendapat semula tanah-tanah yang dirampas dan hak menubuhkan sebuah negara yang bebas dan merdeka dengan Baitul Maqdis Timur sebagai ibu negara.

Artikel Berkaitan:


"Bertitik noktah atas pendirian ini, Malaysia tidak akan menormalisasikan hubungan dengan Israel.Malaysia juga amat kesal dengan tindakan berdiam diri serta menutup sebelah mata negara-negara besar dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," ujarnya.