Belanjawan 2024: Sanusi hargai PM senaraikan 'wishlist' Kedah

Muhammad Sanusi membonceng motosikal berkuasa tinggi sebagai gimik pelancaran konvoi Winger Camaraderie Ride (WCR) ke Dataran Medan Bandar di Alor Setar.
Muhammad Sanusi membonceng motosikal berkuasa tinggi sebagai gimik pelancaran konvoi Winger Camaraderie Ride (WCR) ke Dataran Medan Bandar di Alor Setar.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Negeri Kedah menyambut baik pengumuman Kerajaan Persekutuan memulakan projek tanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun, termasuk di negeri ini, iaitu di Kota Sarang Semut.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia antara ‘wishlist’ Kedah yang dimasukkan dalam Belanjawan 2024.

Menurutnya, selain projek berkenaan, usaha menaik taraf sistem pengairan dan tersier (saliran) bagi melancarkan penanaman padi memberikan kelegaan kepada negeri khususnya pesawah.

“Saya ucap terima kasih kerana dua perkara tersebut merupakan antara wishlist Kedah. Terima kasih juga atas usaha menaikkan kadar Skim Subsidi Harga Padi daripada RM360 kepada RM500 per metrik tan,” katanya dalam sidang akhbar selepas hadir program ramah mesra bersama peserta Wingers Camaraderie Ride (WCR) 2023 di Dataran Medan Bandar pada Sabtu.

Sanusi turut menghargai langkah Kerajaan Persekutuan menaikkan harga lantai belian padi oleh pengilang daripada RM1,200 per metrik tan kepada RM1,300.

“Saya harap semua langkah tersebut dapat beri sedikit kelegaan kepada petani, terutama di Kedah,” ujarnya.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan telah memulakan usaha rintis penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di beberapa kawasan jelapang antaranya di Bota Kiri di Perak, Kangar (Perlis) dan Kota Sarang Semut di Kedah.

Ini selari dengan usaha menaik taraf infrastruktur pengairan di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Perlis dan Kedah bagi meningkatkan pengeluaran padi dengan pelaburan RM3 bilion.

Artikel Berkaitan:

Sanusi juga menghargai cadangan pembangunan blok baharu pendidikan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Rotan selain Program Transformasi Bas Henti-henti di daerah Kota Setar, yang disenaraikan dalam Belanjawan 2024.

Anwar mengumumkan RM96 juta sebagai dana sokongan bas henti-henti bagi membantu menampung kos operasi harian pengendali bas tersebut yang perlu meneruskan perkhidmatan di laluan kurang penumpang di kawasan desa.

Sebanyak RM150 juta juga diperuntukkan bagi meneruskan Program Transformasi Bas Henti-henti termasuk meluaskan manfaatnya ke tiga lokasi baharu, iaitu Kota Bharu, Kuantan dan Kota Setar.

“Sebagai Pengerusi PASRelief, saya juga hargai keprihatinan Kerajaan Persekutuan menyumbang dana RM10 juta untuk bantu rakyat Palestin yang diserang rejim Zionis Israel,” ujarnya.

Sanusi tegaskan, walaupun berbeza ideologi politik, namun tindakan positif kerajaan Persekutuan dihargai kerana tidak meminggirkan Kedah selaku negeri pembangkang.

“Bukan kita berlawan 24 jam. Yang betul kita kata betul, yang salah kita kata salah. Itulah pedoman hidup atas dunia.

“Walaupun musuh atau kawan, kalau dia salah kita kena kata salah. Musuh pun, kalau dia betul, kita kata betul. Itu lah prinsip kita,” katanya lagi.