Harga lantai belian padi, subsidi bersasar jadi tumpuan

Tangkap layar hantaran Wan Saiful Wan Jan di Facebook pada Jumaat.
Tangkap layar hantaran Wan Saiful Wan Jan di Facebook pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan memberikan pandangan awalnya terhadap beberapa isu yang dikemukakan dalam pembentangan Belanjawan 2024 iaitu mengenai harga lantai belian padi, subsidi bersasar dan cukai.

Menurutnya, harga lantai bagi belian padi oleh kilang-kilang yang dinaikkan ke RM1,300 itu tidak mencukupi untuk pesawah menampung kenaikan mendadak kos-kos input dalam penanaman produk berkenaan.

Jelas beliau, harga lantai lebih wajar adalah RM1,500 per tan dan kerajaan perlu mengawal harga beras agar tidak berlaku kenaikan berterusan serta memberikan subsidi bersasar kepada rakyat yang memerlukan.

“Ini akan membolehkan pesawah beroperasi dengan lebih selesa dan memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.

“Selain itu, usaha memastikan reformasi sistem subsidi agar ia menjadi lebih bersasar adalah langkah baik. Saya harap kerajaan akan teruskan seperti yang diucapkan.

“Saya cuma bimbang kerana retorik mengenai reformasi subsidi ini sudah kita dengar daripada kerajaan sejak Disember 2022 lagi tetapi pelaksanaan yang bermakna masih tidak kelihatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Beliau berkata demikian mengulas pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia Madani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Tambah Wan Saiful, perincian mengenai konsep Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang disebut dalam ucapan turut dinanti.

Artikel Berkaitan:

“Jika bermaksud pencarum boleh mengeluarkan dana caruman pada bila-bila masa, maka ini adalah kejayaan awal gerakan rakyat menuntut pengeluaran KWSP bersasar tetapi kalau terlalu banyak sekatan dikenakan, maka ia tidak mencapai matlamat.

“Mengenai pengecualian cukai bagi perusahaan sosial adalah langkah yang baik. Saya mengharapkan sokongan kerajaan kepada perusahaan sosial di negara kita jangan terhad kepada percukaian sahaja sebaliknya meneroka kemungkinan mewujudkan status undang-undang khusus.

“Selain itu, semasa saya bertemu dengan nelayan di Tasek Gelugor, permintaan mereka adalah supaya elaun sara hidup dinaikkan ke RM500 sebulan tetapi kerajaan menetapkannya sebanyak RM300 sahaja,” ujarnya