Dengar rintihan pesawah, semak semula tiga perkara berkaitan industri padi

Kerajaan diharap mendengar rintihan pesawah dengan memasukkan tiga perkara berkaitan industri padi dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan pada Jumaat. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Mahfuz)
Kerajaan diharap mendengar rintihan pesawah dengan memasukkan tiga perkara berkaitan industri padi dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan pada Jumaat. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Mahfuz)
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan diharap mendengar rintihan pesawah dengan memasukkan tiga perkara berkaitan industri padi dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan pada Jumaat.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, tiga aspek tersebut ialah harga lantai padi, harga benih padi serta harga beras.

Menurutnya, apa yang diluahkan pesawah kebelakangan ini diharap mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mengumumkan berita gembira kepada golongan tersebut yang merupakan nadi pengeluaran beras negara.

“Saya harap Perdana Menteri mempertimbangkan untuk menyemak semula harga lantai padi yang ditetapkan pada RM1,200 per tan metrik.

“Mohon disemak semula agar ada sedikit kenaikan, paling kurang pun RM1,400 berdasarkan kepada kenaikan input-input pertanian yang begitu tinggi seperti baja, racun dan sebagainya. Ia lebih adil buat pesawah kerana harga sedia ada (RM1,200) tidak lagi bertepatan dengan harga input padi,” katanya di sini pada Khamis.

Mahfuz yang juga Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berharap harga padi benih turut disemak semula.

“Harga lantai padi benih sekarang RM1,400/tan metrik, saya mohon disemak harga padi benih ini antara kenaikan RM150 hingga RM200 menjadikan harganya kepada RM1,550 atau RM1,600.

“Ini kerana sekiranya hanya semak semula salah satu harga lantai, ia tak memberi kesan besar. Contohnya, hanya semak harga lantai padi, kelak tak ada siapa yang mahu buat padi benih. Sebab itu, kedua-duanya (harga lantai padi dan benih padi) perlu dinilai semula,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, aspek ketiga ialah menaikkan harga beras berdasarkan kepada harga pasaran semasa.

“Sudah sampai masa kerajaan semak semula harga beras. Seluruh dunia berhadapan krisis dan kebanyakan negara menaikkan harga beras. Petani diharap terima perubahan dan akur pada hakikat berhubung isu kenaikan harga.

“Sekiranya berlaku kenaikan harga beras, kerajaan boleh pertimbangkan peratusan kenaikan itu mengikut pasaran tetapi dalam masa sama melaksanakan subsidi bersasar untuk bantu kelompok B40,” jelasnya.

Mahfuz berkata, menerusi kaedah tersebut, pekerja asing atau pendatang tanpa izin (pati) yang hampir tiga juta dalam negara ini tidak akan mendapat manfaat.

“Mereka tidak dapat beli beras pada harga murah (subsidi bersasar) yang ditawar kepada rakyat tempatan. Mereka perlu beli ikut harga pasaran,” katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan dapat berjimat kerana semua semakan tersebut tidak memberikan implikasi kewangan kepada kerajaan.

“Ia boleh diumumkan segera dalam Belanjawan 2024. Harga semakan padi yang akan bayar ialah kilang, jadi kewangan kerajaan tidak akan terkesan. Kerajaan hanya menetapkan harga saja sebagai kawalan,” jelasnya.

Mahfuz turut menasihati pesawah agar mempertingkatkan usaha untuk menambah hasil tuaian antara lima hingga tujuh tan sehektar.

“Bila hasil meningkat, pendapatan pesawah juga meningkat. Sekarang subsidi kerajaan yang diberikan RM500/tan. Kalau harga padi dinaikkan kepada RM1,400 (harga lantai) maka pesawah beroleh RM1,900 per tan. Jika hasil tuaian meningkat, bertambah lagi subsidi yang mereka dapat,” ujarnya.