Harga lantai belian padi kini RM1,300 per tan

Kerajaan memutuskan untuk meningkatkan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per tan demi membantu pendapatan pesawah. - Gambar hiasan
Kerajaan memutuskan untuk meningkatkan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per tan demi membantu pendapatan pesawah. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memutuskan untuk meningkatkan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per tan demi membantu pendapatan pesawah.

​​Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut dibuat susulan rungutan pesawah padi yang berhadapan dengan masalah jualan padi.

“Saya mendengar rungutan pesawah padi apabila harga belian oleh pengilang telah diturunkan kepada tahap minimum RM1,200 per tan.

“Sedangkan sebelum ini harga belian oleh pengilang jauh lebih tinggi. Sebelum ini kerajaan telah menetapkan harga lantai pada RM1,200 sejak tahun 2014 lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat, di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan telah memulakan usaha rintis penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di beberapa kawasan jelapang antaranya di Bota Kiri, Perak; Kangar, Perlis dan Kota Sarang Semut, Kedah.

Jelas beliau, langkah itu selari dengan usaha untuk menaik taraf infrastruktur pengairan di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Perlis dan Kedah bagi meningkatkan pengeluaran padi dengan pelaburan bernilai RM3 bilion.

Sementara itu, Anwar turut memberitahu bahawa kerajaan juga bersetuju untuk meningkatkan peruntukan subsidi padi bukit atau padi huma daripada RM40 juta kepada RM50 juta.

Artikel Berkaitan:

“Peningkatan berkenaan akan dapat meluaskan kawasan penanaman padi bukit daripada 43,000 hektar,” ujarnya.