Ratusan ribu penduduk Palestin jadi pelarian

Penduduk Palestin meninggalkan kejiranan al- Karama di Gaza City untuk menuju ke kawasan selamat. - AFP
Penduduk Palestin meninggalkan kejiranan al- Karama di Gaza City untuk menuju ke kawasan selamat. - AFP
A
A
A

GENEVA - Lebih 420,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka di Genting Gaza, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) susulan serangan balas Israel terhadap pejuang Hamas.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) berkata, sehingga Khamis, bilangan pelarian direkodkan meningkat 84,444 orang untuk menjadikan jumlah keseluruhan seramai 423,378 orang.

Pengumuman tersebut dibuat ketika Israel berterusan membedil Genting Gaza sebagai serangan mengejut Hamas pada Sabtu lalu.

Ketika ini pejuang Hamas berjaya menyerbu beberapa bandar kecil untuk meneruskan usaha menawan wilayah utama dikuasai rejim Zionis.

Israel pula bertindak balas dengan serangan udara dan darat ke atas kediaman awam Gaza yang didiami 2.3 juta orang dan kini telah mengorbankan 1,400 penduduk Palestin.

“Pengeboman berterusan Israel dari udara, darat, laut dilakukan secara berterusan.

“Ratusan bangunan kediaman padat penduduk telah menjadi sasaran mudah dan musnah dalam tempoh 24 jam yang lalu,” menurut OCHA dalam satu ke-nyataan.

Artikel Berkaitan:

Asap menjulang tinggi semasa serangan Israel terhadap Gaza City. - AFP
Asap menjulang tinggi semasa serangan Israel terhadap Gaza City. - AFP

Tambahnya, hampir 27,000 orang telah melarikan diri ke sekolah yang dikendalikan pihak berkuasa Palestin, manakala lebih 153,000 orang mendapat perlindungan bersama dengan saudara mara, jiran dan kemudahan awam lain.

Bangunan kediaman ranap

OCHA yang memetik angka daripada Kementerian Kerja Raya dan Perumahan Gaza berkata, kempen pengeboman kejam rejim Zionis telah memusnahkan 725 buah kediaman dan bukan kediaman yang terdiri daripada 2,835 buah rumah.

Tambahnya, hampir 1,800 buah rumah telah rosak teruk atau tidak boleh didiami langsung.

Justeru, agensi PBB itu menyuarakan kebimbangan mengenai kemusnahan ketara infrastruktur awam yang rosak akibat dibedil tentera Zionis.

Sekurang-kurangnya 90 kemudahan pendidikan musnah termasuk 20 sekolah kendalian Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) dan 70 sekolah yang dikendalikan Pihak Berkuasa Palestin juga telah rosak, dengan salah satu sekolah musnah sepenuhnya.

“Sebanyak 11 masjid menjadi sasaran dan musnah, sementara tujuh gereja mengalami kerosakan teruk,” kata OCHA.