Arahan 'gila', tak masuk akal Israel

Arahan tidak masuk akal itu turut menggesa pemindahan pesakit kritikal dan mangsa cedera dari hospital. - Foto: AFP
Arahan tidak masuk akal itu turut menggesa pemindahan pesakit kritikal dan mangsa cedera dari hospital. - Foto: AFP
A
A
A

TEL AVIV - Israel pada Jumaat memberi tempoh 24 jam kepada penduduk Palestin untuk meninggalkan Bandar Gaza selepas ia merancang untuk melancarkan kempen serangan balas lebih sengit ke atas gerakan Hamas.

Rejim Tel Aviv bagaimanapun mengakui arahan 'gila' itu terlalu singkat untuk kira-kira 1.1 juta penduduk Palestin berpindah keluar dari utara Gaza setelah berdepan kritikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sebelum itu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengarahkan pemindahan kesemua orang awam di Bandar Gaza kononnya demi keselamatan mereka menjelang operasi ketenteraan yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat.

Agensi antarabangsa itu berpendapat gesaan tersebut hanya akan menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk dan berpotensi mencetuskan bencana kemanusiaan ketika penduduk Palestin berdepan kepungan menyeluruh sejak awal minggu lalu.

Hamas yang mentadbir wilayah Gaza turut menolak arahan tidak masuk akal tersebut.

"Kami membantah ugutan dibuat pemimpin rejim Tel Aviv yang memaksa penduduk Palestin meninggalkan kediaman mereka dan melarikan diri ke bahagian selatan atau Mesir.

"Kami akan tetap mempertahankan wilayah kami dan tidak akan ada perpindahan," tegas Hamas dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan berkaitan, rejim Zionis dilaporkan menggugurkan risalah untuk memberi amaran kepada penduduk Gaza supaya segera berpindah ke selatan.

Artikel Berkaitan:

"Kosongkan rumah anda segera dan pergi menuju ke selatan Wadi Gaza," menurut kandungan risalah tersebut yang dijatuhkan oleh dron yang turut memaparkan peta dan petunjuk laluan ke lokasi itu. - AFP