'Israel tak gentleman'

Sebahagian ahli Masia yang hadir pada Himpunan Solidariti berkenaan.
Sebahagian ahli Masia yang hadir pada Himpunan Solidariti berkenaan.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - "Israel tak gentleman, boleh bincang tetapi mereka serang Palestin."

Itu reaksi Presiden Majlis Ayahanda Malaysia (Masia), Moharam Baharom, 65, ketika mengulas isu ketegangan antara Palestin dan Israel ketika ini.

Katanya, serangan yang dilakukan rejim Zionis itu menyebabkan ramai penduduk Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak terkorban.

Justeru katanya, himpunan pada Jumaat bertujuan untuk berikan sokongan kepada saudara di Palestin.

"Kenapa sokong? Kerana kita bersaudara sesama Islam dan sekarang ini kita dah ditindas di seluruh dunia.

"Oleh itu, teruskanlah sokongan moral kepada saudara kita di Palestin... saya sangat sedih ramai anak-anak kecil terbunuh, orang tua tak berdaya, mereka (Israel) ni tak gentleman.

"Kita sangka buat begitu boleh ada diplomasi, muzakarah tetapi kenapa mereka raja begitu brutal? Harap umat Islam di seluruh terus support (sokong) saudara kita di Palestin," katanya.

Dianggarkan hampir 200 ahli Majlis Ayahanda Malaysia (Masia), menghadiri perhimpunan berkenaan selepas solat Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Laungan selamatkan Palestin, hancur Israel bergema di ibu kota

Sementara itu di KUALA LUMPUR laungan ALLAHU AKBAR dan hancur Israel bergema sepanjang Jalan Tun Razak, dekat sini sempena Himpunan Solidariti Bersama Gaza anjuran beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada Jumaat.

Selain kibaran bendera Palestin oleh peserta himpunan, kumpulan tersebut turut mendesak kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk menarik sokongan ke atas rejim Israel.

Membawa kain rentang, sepanduk serta memakai baju bertemakan Palestin, peserta himpunan mula berkumpul di hadapan bangunan Tabung Haji selepas menunaikan solat Jumaat.

Tian Chua (tengah) turut sama hadir dan berarak sempena Himpunan Solidariti Bersama Gaza anjuran beberapa NGO di Jalan Tun Razak pada Jumaat.
Tian Chua (tengah) turut sama hadir dan berarak sempena Himpunan Solidariti Bersama Gaza anjuran beberapa NGO di Jalan Tun Razak pada Jumaat.

Kumpulan tersebut seterusnya berarak menuju ke bangunan Kedutaan AS yang berada tidak jauh dari lokasi perhimpunan.

Himpunan itu diadakan sebagai tanda protes kezaliman Israel ke atas penduduk Palestin di Gaza.

Selepas satu perbincangan bersama pihak polis, tiga wakil kumpulan perhimpunan termasuk Pengerusi Aliansi Masaajid Dunia dalam Pertahanan Al Aqsa, Datuk Seri Syekh Ahmad Awang dibenarkan bertemu wakil kedutaan AS di Kuala Lumpur bagi menyerahkan memorandum.

Dalam satu kenyataan bersama melibatkan beberapa NGO pada perhimpunan tersebut, kesemua bersepakat mendesak supaya peperangan di Palestin dihentikan segera dan semua pihak menarik balik semua bantuan ketenteraan kepada rejim Israel.

Kata kenyataan itu, memorandum yang diberikan kepada pihak kedutaan AS di Kuala Lumpur menuntut negara kuasa besar itu berhenti digunakan oleh proksi Zionis untuk membiayai agenda Israel.

"Hentikan proses pengyahudian Jerusalem dan penodaan Masjid al-Aqsa, seterusnya pencabulan hak asasi manusia serta mengembalikan hak kebebasan dan keadilan yang sah kepada rakyat Palestin.

"Berhenti menyalahgunakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui kuasa veto, selain mematuhi semua resolusi PBB yang diluluskan dalam Sidang Agung PBB," kata kenyataan itu pada Jumaat.

Hadir sama pada perhimpunan tersebut adalah bekas ahli politik terkemuka iaitu Chua Tian Chang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua serta aktivis sosial, Hishamuddin Rais.

Kata kenyataan itu lagi, memorandum yang diberikan kepada pihak kedutaan mendesak kuasa dunia itu daripada terus memberi bantuan serta sokongan kepada Israel.

"Kami mengutuk sekeras-kerasnya keberanian AS yang memberi amaran kepada mana-mana negara supaya tidak campur tangan dalam perang Israel-Hamas.

"Namun begitu, sifat munafik AS telah mendalangi perang ke atas Gaza secara langsung," ujarnya.

Selain itu, kenyataan itu berkata, memorandum yang dihantar menuntut Israel menghentikan rampasan tanah Palestin dan perluasan penempatan haram golongan rejim zionis.

Malah menurutnya, Israel diminta meleraikan kepungan ke atas Gaza dan mendesak rejim zionis itu menghentikan hukuman kolektif ke atas penduduk Gaza.

"Hentikan pencerobohan Masjid al-Aqsa dan semua tempat suci di Baitul Maqdis.