Belanjawan 2024 martabatkan syiar Islam di Malaysia

Mohd Na'im
Mohd Na'im
A
A
A

SHAH ALAM - Belanjawan 2024 mencerminkan Kerajaan Perpaduan amat komited dan bersungguh-sungguh mahu memartabatkan pembangunan syiar Islam di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, ia dapat dilihat daripada pengumuman peruntukan pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam, sebanyak RM1.9 bilion telah diperuntukkan pada tahun 2024 meningkat berbanding RM1.5 bilion pada tahun ini.

“Sejumlah RM150 juta juga disediakan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menyelenggara dan menaik taraf prasarana institusi pendidikan Islam antaranya sekolah agama rakyat, institusi pondok berdaftar dan sekolah tahfiz.

“Selain itu, untuk menggerakkan agenda membangun Malaysia Madani di lapangan rakyat, kerajaan mengiktiraf dan menghargai jasa lebih 70,000 guru takmir, guru KAFA, imam, bilal, siak, noja dan marbut dalam menggerakkan usaha pembangunan insan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah Mohd Na’im, pihaknya turut menghargai persetujuan kerajaan menambah sumbangan khas kepada RM700 kepada murabbi ummah tersebut dengan peruntukan disediakan lebih RM50 juta.

“Kerajaan Perpaduan memutuskan untuk mengembalikan semula geran bantuan sebanyak RM20,000 kepada semua sekolah agama rakyat yang berdaftar di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), diharap dapat menyokong fungsi sekolah tersebut dalam melahirkan generasi baharu Islam yang seimbang ilmu duniawi dan ukhrawi.

“Ia menjadi aspirasi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk memperkukuh sistem perundangan dan kehakiman syariah. Alhamdulillah, kerajaan bersetuju memperkasa Akademi Kehakiman Syariah Malaysia dalam melatih hakim mahkamah atasan secara lebih terancang dan berkesan,” ujarnya.

Beliau berkata, ​Kerajaan Perpaduan juga prihatin dengan masa depan pembangunan program tahfiz dengan memperuntukkan sebanyak RM17 juta bagi melaksanakan Program Tahfiz Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET).

Artikel Berkaitan:

“Ia bagi membuka peluang kepada pelajar tahfiz untuk mempelbagaikan kemahiran di samping meneruskan pengajian hafazan,” jelasnya.