Insentif, bantuan bukti kerajaan dengar rintihan penjawat awam

Adnan
Adnan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemberian insentif dan bantuan kepada penjawat awam serta penambahbaikan liputan Skim Ex-Gratia Bencana Kerja menerusi Belanjawan 2024 membuktikan kerajaan mendengar rintihan golongan itu dalam mendepani persekitaran ekonomi semasa negara yang mencabar.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat berkata, bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak itu jelas membuktikan kerajaan komited dalam menjaga kebajikan warga perkhidmatan awam.

Beliau berkata, Cuepacs menghargai jumlah insentif yang akan diterima penjawat awam pada kali ini yang merupakan tertinggi pernah diberikan kerajaan berbanding sebelum ini sekitar RM500 hingga RM700.

"Pemberian insentif secara sekali gus pada Februari 2024 sementara menunggu kajian SSPA dimuktamadkan pada hujung tahun hadapan dan pemberian insentif RM1,000 kepada semua jawatan utama sektor awam ini juga dilihat tepat apabila ia boleh mengurangkan beban persediaan perbelanjaan persekolahan anak-anak serta persiapan menyambut Ramadan dan Syawal,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, beliau berkata, Cuepacs menaruh harapan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merangka usaha yang boleh mempercepatkan pelaksanaan SSPA baharu seperti yang dijanjikan kepada semua penjawat awam.

"Cuepacs berharap kerajaan dapat mempercepatkan kajian SSPA supaya ia dapat dilaksanakan dengan segera pada tahun hadapan kerana SSPA baharu ini amat penting bagi memastikan gaji diterima penjawat awam ketika ini sesuai dengan persekitaran ekonomi semasa yang begitu mencengkam,” katanya.

Menerusi Ikhtiar Kesejahteraan Penjawat Awam yang antaranya merangkumi pemberian Bantuan Bayaran Pakaian Menghadiri Upacara Rasmi meliputi pakaian batik Malaysia untuk semua penjawat awam, Adnan berkata, ia dapat membantu menjayakan inisiatif kerajaan untuk meningkatkan industri batik negara.

"Kita tidak mahu arahan pemakaian baju batik Malaysia kepada pegawai perkhidmatan awam ini tidak memberi impak yang berkesan disebabkan tiada sambutan. Langkah ini sekurang-kurangnya turut membantu penjawat awam untuk benar-benar membeli batik Malaysia yang tulen dan berkualiti,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Bahagian Negeri Sembilan, Maarof Kassim berkata, bayaran insentif RM1,000 kepada semua pesara kerajaan menunjukkan kerajaan menghargai jasa dan keringat golongan itu yang telah mencurahkan bakti mereka selama dalam perkhidmatan.

"Jumlah bantuan memang kebiasaan yang diterima separuh daripada apa yang diterima kakitangan awam, tapi kali ini bila kakitangan awam terima insentif lebih tinggi iaitu RM2,000, kita turut menerima jumlah yang tinggi iaitu RM1,000, separuh daripada apa yang diterima kakitangan awam.

"Apa yang diberikan ini jauh lebih baik...terdapat penambahan jumlah insentif yang diberikan. Terima kasih diucapkan kepada kerajaan Madani atas insentif yang diberikan,” katanya.

Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat hari ini mengumumkan pemberian Bayaran Insentif Awal Kajian SSPA berjumlah RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bayaran insentif RM1,000 juga diberi kepada semua Jawatan Utama Sektor Awam melibatkan semua pihak termasuk polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata serta seluruh anggota beruniform dan bantuan itu turut dipanjangkan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen. - Bernama