Perspektif gender terhad beri impak kepada wanita, kanak-kanak

Perspektif gender yang terhad dalam Belanjawan 2024 Malaysia Madani sedikit sebanyak menghalang untuk memperbaiki jurang ketidaksaksamaan jantina golongan sasar terutama wanita dan kanak-kanak. - Gambar Hiasan
Perspektif gender yang terhad dalam Belanjawan 2024 Malaysia Madani sedikit sebanyak menghalang untuk memperbaiki jurang ketidaksaksamaan jantina golongan sasar terutama wanita dan kanak-kanak. - Gambar Hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Perspektif gender yang terhad dalam Belanjawan 2024 Malaysia Madani sedikit sebanyak menghalang untuk memperbaiki jurang ketidaksaksamaan jantina golongan sasar terutama wanita dan kanak-kanak.

Menurut Gabungan Bajet Gender (GBG), kerajaan perlu mengiktiraf perbezaan situasi, peranan, sumbangan, dan keperluan pelbagai komuniti sebagai bertindak balas mengikut kesesuaian.

“Belanjawan Responsif Gender melihat kepada impak terhadap kanak-kanak perempuan mahupun lelaki dan juga wanita.

“Program i-Sayang antara langkah positif bagi mencapai matlamat belanjawan kerana memperakui perkongsian kerja penjagaan dalam rumahtangga dan mengambil kira kebarangkalian suami sebagai suri rumah manakala isteri sebagai pencari nafkah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Jumaat, Belanjawan 2024 Malaysia Madani merupakan kali kedua yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kerajaan memperuntukkan RM393.8 bilion bagi Belanjawan 2024, tertinggi pernah dibentangkan merangkumi RM303.8 bilion untuk belanja mengurus, RM90 bilion bagi pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.

Dalam pada itu, menurut Pengasas Engender Consultancy, Omna Sreeni-Ong Belanjawan Responsif Gender bukan hanya melihat kepada peruntukan semata-mata, sebaliknya perlu mencapai transformasi hasil lebih mampan.

“Sekiranya ingin mencapai hasil yang transformatif dalam realiti kehidupan masyarakat yang memerlukan pemantauan, penilaian aktif dan kajian berimpak tinggi bagi menyokong peruntukan serta polisi sedia ada,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Women’s Aid Organisation (WAO) merangkap sekretariat bersama GBG, Sumitra Visvanathan berkata, kekurangan peruntukan untuk menyokong sistem dalam menyampaikan perkhidmatan sosial kepada golongan rentan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu diperkasakan.

“Kami berharap melalui pelaksanaan ataupun belanjawan yang akan datang perlukan penekanan terhadap keperluan masyarakat,” katanya.