Syed Saddiq dakwa belanjawan tekan golongan pertengahan

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa Belanjawan 2024 akan terus menekan golongan pertengahan yang merupakan majoriti rakyat di negara ini.

Menurut Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu, ia berikutan empat perkara membabitkan golongan itu 'disentuh'.

Jelasnya, empat perkara itu ialah subsidi dikurangkan, cukai dinaikkan, pembaziran diteruskan dan janji dilupakan.

"Pertama, kita dengar tadi subsidi rakyat akan dikurangkan yang mana subsidi kepada makanan ruji seperti telur, ayam serta diesel akan diapungkan.

"Saya faham kerajaan katakan mereka ingkn buat subsidi bersasar tapi kita perlu ingat klasifikasi T20 di Kelantan dan Kuala Lumpur adalah berbeza kerana jurangnya cukup besar.

"Kedua, cukai rakyat akan dinaikkan. Kita dengan tadi bahawa Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan dinaikkan 25 peratus iaitu daripada enam peratus kepada lapan peratus," katanya ketika sidang akhbar di Parlimen di sini pada Jumaat.

Tambah Syed Saddiq, bagi isu pembaziran diteruskan pula antaranya apabila kerajaan mengumumkan akan membuat perbelanjaan tambahan untuk tukar kenderaan rasmi anggota Jemaah Menteri.

"Ada banyak lagi contoh lain saya akan rungkai pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat nanti.

Artikel Berkaitan:

"Bagi isu keempat pula ialah janji dilupakan membabitkan isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang mana janji asas tidak ditunaikan," katanya.

Ujarnya, ia membabitkan janji pembayaran semula hanya perlu dibuat apabila tangga gaji graduan mencapai tahap bermaruah.

Malah, beliau turut mengkritik diskaun pembayaran semula yang dikurangkan sebanyak 50 peratus iaitu kepada 10 peratus berbanding 20 peratus sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat membentangkan Belanjawan 2024 berjumlah RM393.8 bilion di Dewan Rakyat

Peruntukan itu tertinggi pernah dibentangkan merangkumi RM303.8 bilion untuk belanja mengurus, RM90 bilion bagi pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.

Belanjawan kali ini merupakan yang kedua dibentangkan beliau di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.