Roger Ng: SPRM serah siasatan kepada PDRM terlebih dahulu

Roger Ng
Roger Ng
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan proses siasatan melibatkan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlebih dahulu.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, tidak ada sebarang keperluan mendesak bagi SPRM pada masa ini untuk menyiasat atau memanggil Roger Ng yang kini berada dalam tahanan PDRM.

Beliau berkata, siasatan yang sedang dilakukan oleh PDRM adalah perkara yang perlu diutamakan bagi menyiasat kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Kita (SPRM) serahkan dahulu kepada PDRM untuk melakukan siasatan kerana mungkin ada maklumat penting yang boleh menjurus kepada pencarian tertentu.

"Oleh sebab itu, kita serahkan kepada PDRM melakukan siasatan sehingga selesai.

"Selepas itu, barulah SPRM akan melihat sama ada siasatan mereka (PDRM) sudah merangkumi apa yang telah kita siasat," katanya dalam sidang akhbar pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Public Private Partnership (PPP) Fasa 2.0 dengan tajuk Pendekatan Strategik dan Holistik Memerangi Jenayah Rasuah dan Pengubahan Wang Haram Selari Dengan Aliran Global.

Hadir sama Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Abd Rahman Abu Bakar.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu ditanya mengenai perkembangan melibatkan bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan, Azam berkata, pihaknya masih kekal seperti mana siasatan dilakukan sebelum ini.

Menurut beliau, terdapat maklumat yang tidak boleh dikongsikan kepada umum berhubung dapatan daripada siasatan ke atas Jasmine Loo.

"Kita (SPRM) telah menyerahkan kertas siasatan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi meneliti keterangan, terutama kepada keperluan dia (Jasmine Loo) dipanggil sebagai saksi dalam kes 1MDB yang sedang berlangsung," ujarnya.

Bagi kes melibatkan siasatan sebuah firma guaman yang didakwa terlibat dalam rasuah dan pengubahan wang haram semasa usaha pemulihan aset 1MDB oleh kerajaan, Azam berkata, SPRM masih menunggu kelulusan dari Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan dokumen serta keterangan klien.

Kata beliau, tindakan susulan tersebut telah diajukan kepada mahkamah kerana ia membabitkan dokumen peribadi milik klien guaman berkenaan.

"SPRM telah ambil tindakan dan memberikan notis untuk dikemukakan kepada pegawai penyiasat.

"Oleh kerana dokumen itu melibatkan komukasi klien pihak firma guaman, kita telah memfailkan perkara berkenaan di bawah Seksyen 46 Akta SPRM 2009.

"Namun perkara ini memerlukan kelulusan dari Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan dokumen serta keterangan daripada seorang klien," ujarnya.

Sementara itu ditanya mengenai kes membabitkan ahli perniagaan bergelar Datuk dan sekutunya yang ditahan dengan wang tunai RM38 juta pada Julai lalu, Azam berkata, siasatan masih dijalankan oleh SPRM.

Beliau berkata, siasatan terhadap individu itu sedang dijalankan oleh pasukan petugas yang dianggotai pelbagai agensi kerajaan termasuk SPRM.

"Pasukan petugas yang menjalankan siasatan itu dianggotai pelbagai agensi kerajaan termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)," ujarnya.