1MDB: Siasatan tumpu modus operandi Roger Ng

Razarudin. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Razarudin. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada tempoh masa yang ditetapkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Roger Ng, 51, telah ditahan pada Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA).

"Tumpuan PDRM adalah bagi memastikan kesemua aset kerajaan dan hak rakyat dapat diperoleh semula sama ada di luar mahupun dalam negara.

“Kita juga akan teliti segala aspek termasuk modus operandi bagaimana bond-bond ini dijual dan berapa komisen yang diterima ini semua perlu kita ketahui daripada Roger Ng sendiri," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Selasa.

Razarudin berkata, pihaknya berharap Roger Ng memberikan kerjasama yang baik dalam usaha mengesan semula aset seperti akaun, rumah dan kenderaan yang dibeli hasil daripada penyelewengan wang 1MDB.

"Kita akan mendapatkan maklumat berkaitan aset itu daripada soal siasat ke atas Roger Ng, kita akan memaklumkan perkembangan kes dari semasa ke semasa," katanya

Razarudin berkata, setelah siasatan selesai, pihaknya akan menyerahkan Roger kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

"Setakat ini, keterangan Roger Ng berkemungkinan diperlukan agensi penguat kuasa lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Razarudin tidak mahu mendedahkan di mana lokasi Roger Ng ditahan kerana atas faktor keselamatan.

"Tiada keperluan untuk memasang peranti pemantauan elektrik (EMD) terhadap Roger Ng seperti yang dilakukan terhadapnya di Amerika Syarikat," katanya.

Pada Sabtu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, Roger Ng tiba di Malaysia tengah malam Ahad bagi membantu proses siasatan berkaitan skandal 1MDB.

Beliau berkata, tempoh berapa lama Roger Ng akan berada di Malaysia adalah bergantung kepada proses siasatan.

Roger Ng dihantar balik ke Malaysia bagi tujuan pihak berkuasa di Malaysia meneruskan siasatan mengenai 1MDB atau Goldman Sachs.

Sebelum itu, Ketua Hakim Daerah Amerika Syarikat (AS), Margo Brodie di Brooklyn, telah mengarahkan Roger Ng menyerah diri kepada Perkhidmatan Marshal AS supaya dia boleh diserahkan kepada penguat kuasa undang-undang Malaysia.

Roger Ng yang dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di New York kerana membantu menggelapkan berbilion dolar dana kekayaan 1MDB akan diserahkan kepada Malaysia.