LTTE: Kes pengutip besi buruk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi KL

No Image Caption
A
A
A

SELAYANG - Mahkamah Sesyen Selayang hari ini memindahkan kes pengutip besi buruk, A Kalaimughilan, 28, ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung dua pertuduhan memiliki barangan berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Hakim, Maziah Joary Mohd Tajudin memutuskan kes berkenaan tidak dibenarkan jaminan selepas mendengar hujah kedua belah pihak, pendakwaan dan pembelaan.

V Yoges mewakili tertuduh menyatakan kes berkenaan berhak diberi jaminan memandangkan anak guamnya masih belum dituduh di Mahkamah Tinggi.

Dalam hujah pembelaannya juga, Yoges menyatakan tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarga yang menjaga bapa dan adik perempuan yang merupakan orang kurang upaya (OKU).

Di samping itu, tertuduh juga turut mempunyai masalah kesihatan selepas terlibat dalam kemalangan dan masih mendapatkan rawatan lanjut di klinik Sungai Buloh walaupun dalam tahanan reman.

Menurut Yoges, dalam hujah pembelaannya pertuduhan berkenaan bukan kes baharu dan ia berlaku enam tahun lalu dan sepanjang tempoh itu, anak guamnya juga tidak pernah terlibat dalam kes seumpama lagi selepas itu.

Sementara itu, dalam hujah balas Timbalan Pendakwaraya, Low Qin Hui berkata, Mahkamah Sesyen tidak mempunyai bidang kuasa bagi mendengar kes berhubung jaminan yang dinyatakan memandangkan ia merupakan kes melibatkan isu keselamatan negara.

Qin Hui berkata, hanya Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mempunyai bidang kuasa membuat keputusan berhubung kes itu yang telah dipindahkan atas kebenaran.

Artikel Berkaitan:

Qin Hui turut menegaskan tertuduh masih belum menjalani pertuduhan di Mahkamah Tinggi berhubung sabitan kes dan masih belum ada pengakuan direkodkan.

Pihak pendakwaan telah menyediakan izin untuk memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Qin Hui juga menegaskan, tertuduh tidak berhak diberi jaminan di bawah seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah.

Pada 29 Oktober lalu, Kalaimughilan dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang di sini atas dua pertuduhan memiliki item berkaitan dengan kumpulan LTTE di sebuah rumah di Jalan Anggerik 5D, Bukit Sentosa, Rawang dan di dalam sebuah kereta di tempat sama pada jam 9.30 pagi dan 12.35 tengah hari, 10 Oktober lepas.

Kesemua pertuduhan terhadap Kalaimughilan dikemukakan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item itu, jika sabit kesalahan.