Ibu tertekan anak gadis mudah terpedaya, jadi pemuas nafsu

Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu
Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - "Saya sudah tidak mampu lagi mendidik dan mengawal dia," demikian luahan ibu kepada seorang gadis yang dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu hari ini kerana kesalahan berkhalwat.

Ibu kepada gadis berusia 22 tahun membuat luahan berkenaan ketika sesi rayuan sebelum mahkamah memerintahkan gadis yang bekerja sebagai pembantu kedai itu di hantar ke Pusat Pemulihan Wanita di Sabak Bernam Selangor selama dua bulan.

Perintah itu dikeluarkan selepas dia yang berasal dari Kuala Abang, Dungun, mengaku salah berkhalwat bersama kekasihnya berusia 33 tahun, dari Bandar Permaisuri, Setiu, di sebuah bilik hotel, di Jalan Sultan Mahmud, di sini, pada jam 11.20 malam, pada 8 Mac lalu.

Dengan itu, dia mengaku salah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.

Bagi kesalahan itu, dia boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, semasa peringkat rayuan, ibu kepada tujuh anak itu mengakui sudah bersungguh-sungguh cuba mengawal dan mendidik anak gadisnya itu, namun tidak berhasil kerana dia akan bertindak lari dari rumah.

"Saya cukup tertekan dengan perkembangan masa depan dia kerana terlalu mudah terpengaruh dengan kawan-kawannya.

"Dia tidak mahu meneruskan persekolahan selepas ayahnya meninggal dunia, malah saya lihat dia terlalu mudah terpengaruh dengan pujuk rayu lelaki jahat yang hanya mahukan keseronokan dan mengikut hawa nafsu semata-mata," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Khanurulhajja Mustafar dihadapan Hakim Mohd Fakhruddin Yusof.

Dalam penghakimannya, Mohd Fakhruddin berkata, mahkamah mengambil keputusan menjatuhkan hukuman itu adalah sebagai satu pengawalan dan pemulihan.