Henti polemik hak milik tanah: MB Perak

Ahmad Faizal menyampaikan replika kunci rumah kepada penerima pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku Tualang Sekah di Tapak Projek Rumah Perakku di sini hari ini.
Ahmad Faizal menyampaikan replika kunci rumah kepada penerima pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku Tualang Sekah di Tapak Projek Rumah Perakku di sini hari ini.
A
A
A

MALIM NAWAR - Semua pihak diminta menghentikan sebarang polemik berkenaan isu pemberian hak milik kekal tanah kampung baharu bagi mengelak rakyat resah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri akan mendapatkan nasihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Majlis Tanah Negeri (MTN) berkaitan isu tersebut sebelum melakukan tindakan seterusnya.

Menurutnya, sebarang isu berkaitan pemberian hak milik kekal tidak perlu dibincangkan melalui media tetapi melalui saluran di dalam kerajaan.

"Saya percaya ada lunas-lunas yang boleh kita gunakan dalam kerajaan. Kita boleh berbincang melalui mesyuarat Majlis kerajaan negeri, dengan kepimpinan kita pun boleh berbincang. Tak perlu cakap melalui media.

"Kadang-kadang bercakap melalui media ini akan menimbulkan perkara-perkara yang lain pula. Bukan semuanya negatif tetapi boleh menimbulkan perkara yang meresahkan rakyat," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku Tualang Sekah di Tapak Projek Rumah Perakku di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu hak milik kekal: Aziz Bari ajak Saarani berforum

DAP Perak tuntut janji hak milik kekal kampung baru

Hadir sama Exco-exco kerajaan negeri, Paul Yong Choo Kiong, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzil; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), Yuhanas Auree Kamaruddin dan Pengarah Urusan Mimbar Nusantara Holding Sdn Bhd, Nazrin Cheong Abdullah.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian sebagai mengulas beberapa kenyataan yang dikeluarkan Naib Pengerusi DAP Perak yang juga Exco kerajaan negeri, Dr Abdul Aziz Bari serta kenyataan balas Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berhubung isu hak milik kekal tanah kampung baharu.

Ahmad Faizal berkata, pelbagai pandangan diterima berhubung isu tersebut malah pada peringkat awal kerajaan negeri telah mengadakan beberapa sesi pendengaran awam turut dibuat melibatkan pelbagai pihak.

Katanya, disebabkan pandangan yang banyak dan berbeza-beza, kerajaan negeri mengambil pendekatan menyerahkan kepada MTN untuk memberikan nasihat mengenai tindakan seterusnya yang boleh dilakukan.

Beliau berkata, polemik berkenaan timbul apabila terdapat pemimpin yang mengeluarkan kenyataan melalui media dan kemudiannya beberapa pihak lain memberi pandangan berbeza.

Abdul Aziz (kanan) ketika sidang media menjemput Saarani untuk berforum bagi menjelaskan mengenai isu hak milik kekal tanah kampung baharu.
Abdul Aziz (kanan) ketika sidang media menjemput Saarani untuk berforum bagi menjelaskan mengenai isu hak milik kekal tanah kampung baharu.

"Masalahnya ada orang keluarkan kenyataan. Kalau tak ada kenyataan dikeluarkan, media pun tak akan cerita perkara ini. Tetapi apabila ada di kalangan pemimpin yang nak bercakap (mengenai isu tersebut) media akan siarkan.

"Kadang-kadang perkara yang tak patut cakap kita tak perlu cakap, perkara patut cakap kita cakap," katanya.

Abdul Aziz dalam sidang media semalam mahu pertemuan atau forum diadakan bersama Saarani bagi menjelaskan kekeliruan mengenai pelaksanaan hak milik kekal tanah kampung baharu yang dikatakan bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

[Artikel berkaitan: https://www.sinarharian.com.my/article/61430/EDISI/Perak/Isu-hak-milik-kekal-Aziz-Bari-ajak-Saarani-berforum]

Saarani dalam kenyataan sebelum ini menjelaskan pemberian hak milik kekal tanah itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan melanggar ketetapan Mesyuarat MTN ke-73.

[Artikel berkaitan: https://www.sinarharian.com.my/article/60437/EDISI/Perak/Hak-milik-kekal-tanah-Jangan-cabul-Perlembagaan]

Isu tersebut kembali hangat diperkatakan apabila Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming menuntut supaya janji yang termaktub di dalam manifesto tersebut dilaksanakan segera ketika Konvensyen DAP Perak yang berlangsung bulan lalu.

[Artikel berkaitan: https://www.sinarharian.com.my/article/58863/EDISI/Perak/DAP-Perak-tuntut-janji-hak-milik-kekal-kampung-baru]

Pada 13 Ogos 2018, Ahmad Faizal ketika menggulung perbahasan atas Titah Diraja pada Sidang Dewan Undangan Negeri Perak ke-14 menjelaskan pihaknya tidak boleh memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada kampung baharu itu kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) pada 25 April 1997 menetapkan tempoh pegangan pajakan bagi kampung-kampung baharu tersebut hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun tetapi tidak melebihi 99 tahun.