DAP Perak tuntut janji hak milik kekal kampung baru

Kor Ming dan Kit Siang bersama-sama pemimpin DAP Perak dan perwakilan yang hadir pada Konvensyen DAP Perak hari ini.
Kor Ming dan Kit Siang bersama-sama pemimpin DAP Perak dan perwakilan yang hadir pada Konvensyen DAP Perak hari ini.
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] DAP Perak mendesak kerajaan negeri menunaikan janji pemberian hak milik kekal tanah kampung baru bermula hujung tahun ini.

Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata, beberapa janji lain yang terkandung dalam buku manifesto tawaran Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum ke-41 (PRU14) lalu itu juga akan dituntut.

Menurutnya, video Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika membacakan tawaran PH Perak itu kini tular di media sosial.

"Saya sarankan dan mempunyai harapan yang tinggi janji pemberian hak milik kekal kepada kampung baru Cina seharusnya bermula akhir tahun ini sempena Tahun Baru Cina dan satu keputusan wajar perlu dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

"Kita cukup yakin menteri besar tidak akan mengecewakan rakyat negeri Perak dan menyanjung tinggi komitmen yang ditunjukkan," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Konvensyen DAP Perak di Hotel Ritz Garden, di sini hari ini.

Hadir sama merasmikan konvensyen tersebut, Ahli Jawatankuasa DAP Pusat, Lim Kit Siang.

Dalam pada itu, Kor Ming turut mengarahkan lima Exco Kerajaan Perak dari DAP supaya membantu Ahmad Faizal melaksanakan janji yang termaktub dalam tawaran PH itu.

Menurutnya, segala janji diumumkan itu bukan janji DAP sebaliknya janji PH yang perlu ditunaikan segera selepas rakyat menghantar isyarat jelas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dengan kekalahan besar lebih 15,000 majoriti undi.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu ketika ucapannya, Kor Ming turut menayangkan klip video yang didakwa diedit itu menunjukkan Ahmad Faizal sedang berucap membacakan tawaran PH sebelum PRU14 dan satu ucapan selepas PRU14 ketika sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Perak.

Sementara itu, Kor Ming berkata, jika janji tersebut tidak dilaksanakan, maka video tersebut akan digunakan oleh MCA, UMNO dan Pas untuk mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Pada 13 Ogos 2018, Ahmad Faizal ketika menggulung perbahasan atas Titah Diraja pada Sidang Dewan Undangan Negeri Perak ke-14 menjelaskan pihaknya tidak boleh memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada kampung baharu itu kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) pada 25 April 1997 menetapkan tempoh pegangan pajakan bagi kampung-kampung baharu tersebut hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun tetapi tidak melebihi 99 tahun.