Tiga kekal, tujuh muka baharu anggotai Exco Selangor

Seramai 10 ADUN dilantik sebagai Exco dari kanan, Najwan, Borhan, Suee Lim, Jamaliah, Sze Han, Rizam, V Papparaidu, Mohammad Fahmi, Izham dan Anfaal. - FOTO ROSLI TALIB
Seramai 10 ADUN dilantik sebagai Exco dari kanan, Najwan, Borhan, Suee Lim, Jamaliah, Sze Han, Rizam, V Papparaidu, Mohammad Fahmi, Izham dan Anfaal. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

KLANG - [DIKEMAS KINI] Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor mengangkat sumpah bagi memegang jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor pada Isnin.

Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah itu dilakukan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah Klang bermula jam 2 petang.

Majlis istiadat angkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dan pembesar-pembesar negeri.

Dalam majlis itu, 10 ADUN mengangkat sumpah terdiri daripada tiga wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Dr Mohammad Fahmi Ngah (Seri Setia), Najwan Halimi (Kota Anggerik) dan Borhan Aman Shah (Tanjung Sepat).

Sementara DAP pula diwakili oleh Ng Sze Han (Kinrara), Ng Suee Lim (Sekinchan), Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama) dan Papparaidu Veraman (Banting).

Exco Parti Amanah Negara (Amanah) dan Barisan Nasional pula diwakili Ir Izham Hashim (Pandan Indah) dan Anfaal Saari (Taman Templer) serta wakil tunggal BN, Rizam Ismail (Sungai Air Tawar).

Kerajaan Selangor mengekalkan Sze Han, Borhan dan Izham manakala tujuh lagi adalah muka baharu.

Terdahulu, ADUN Sungai Tua, Datuk Seri Amirudin Shari dilantik bagi penggal kedua sebagai Menteri Besar telah melafazkan ikrar Aku Janji merangkumi 10 perkara yang perlu beliau penuhi serta patuhi sepanjang memegang jawatan itu.

Artikel Berkaitan:

Antara kandungan Aku Janji tersebut adalah memihara serta memastikan agama Islam tidak diganggu gugat serta menghormati agama bukan Islam, memelihara institusi raja dari dicaci serta diganggu, mematuhi arahan Tuanku Sultan.

Selain itu, Amirudin turut berikrar bagi memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta kepentingan sah kaum lain, melaksanakan tugas dengan penuh intergriti serta tanggungjawab, mendahulukan rakyat, memastikan kemakmuran negeri itu ditahap tertinggi, memelihara jawatan yang diamanahkan dari dicemari tindakan menyalahi undang-undang dan memelihara perpaduan.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Amirudin berkata, portfolio barisan 10 exco akan diumumkan selepas berakhirnya selepas Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang pertama pada Rabu ini.