'Rumah dipecah masuk kenalan, bukan bermotif curi'

Keadaan rumah Paul Yong yang disedari dipecah masuk Ahad lalu.
Keadaan rumah Paul Yong yang disedari dipecah masuk Ahad lalu.
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Exco Kerajaan Perak, Paul Yong Choo Kiong mengesyaki kejadian pecah masuk rumahnya di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya minggu lalu dilakukan kenalan atau mereka yang biasa dengan persekitaran rumah berkenaan.

Menurutnya, ini kerana amat sukar untuk seseorang yang tidak dikenali membolosi kawalan keselamatan perumahan yang dilengkapi sistem 24 jam pengawal.

"Rumah ini dalam perumahan yang berpagar dan berpengawal, ada rondaan keselamatan setiap jam jadi amat mustahil seorang mencuri barang dan keluar tanpa diketahui.

"Berdasarkan maklumat rakaman litar tertutup (CCTV) di pondok pengawal, ada seorang lelaki berusia lingkungan 20-an datang ke rumah saya sebaik saya meninggalkan rumah, November lalu, tetapi saya sendiri tidak mengenali pemuda berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Keadaan rumah Paul Yong yang disedari dipecah masuk Ahad lalu.
Keadaan rumah Paul Yong yang disedari dipecah masuk Ahad lalu.

Beliau berkata, kejadian itu mungkin dilakukan lebih daripada seorang suspek, namun bukan bermotifkan curi, malah berdasarkan rekod awal, kehilangan tidak melibatkan barangan berharga sebaliknya dua peti keselamatan yang menyimpan pelbagai dokumen penting dan peribadi seperti geran kereta.

"Mereka seakan tidak berniat untuk mencuri kerana televisyen 60 inci dan motosikal berkuasa tinggi tidak dilarikan walaupun kunci ada dalam rumah.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat banyak kabinet dan almari, tetapi pencuri seolah-olah mengetahui saya menyimpan dokumen penting dan wang tunai di almari tertinggi yang berkunci.

"Hanya dua peti keselamatan diletakkan di bilik utama dan ruang tamu yang diambil sedangkan ia berat dan amat sukar untuk dibawa lari," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah Paul Yong dipecah masuk

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu juga tidak menolak kemungkinan kejadian itu ada kaitan dengan kes pertuduhan merogol yang dihadapinya.

Jelasnya, kesemua ruang empat bilik di tingkat dua rumah berkenaan diselerakkan, hanya bilik bekas pembantu rumah yang tidak digeledah.

"Ini adalah kejadian kedua pecah masuk selepas saya mendiami rumah ini enam tahun lalu. Saya serahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan," katanya.

Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, terdapat empat kesan cap jari ketika siasatan awal dilakukan.

Kejadian itu disedari Paul Yong sendiri, Ahad lalu ketika kembali meninjau keadaan rumah selepas kali terakhir meninggalkan rumah pada 22 November lalu.

Difahamkan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru itu sudah tiga bulan tidak tinggal di rumah berkenaan.

Beliau bersama keluarga tinggal di tempat lain kerana mahukan privasi berikutan kes perbicaraan rogol yang dihadapi.

Pada 23 Ogos lalu, Paul Yong, 49, mengaku tidak bersalah merogol pembantu rumahnya seorang warga Indonesia berusia 23 tahun di bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya antara jam 8.15 malam hingga 9.15 malam, 7 Julai lalu.

Kes berkenaan akan disebut semula di Mahkamah Sesyen Ipoh esok.

ARTIKEL BERKAITAN: Rogol amah: Exco Perak dihadap ke mahkamah esok

Exco Perak didakwa rogol pembantu rumah