'Tapak bina rumah tak masuk akal'

Pengurusan Maahad Tahfiz Wa Dirasah Al-Islamiah mohon keprihatinan kerajaan negeri menyelesaikan isu pembinaan sebuah rumah di hadapan pintu masuk sekolah itu sejak bulan lalu.
Pengurusan Maahad Tahfiz Wa Dirasah Al-Islamiah mohon keprihatinan kerajaan negeri menyelesaikan isu pembinaan sebuah rumah di hadapan pintu masuk sekolah itu sejak bulan lalu.
A
A
A

TELUK INTAN - Pengurusan Maahad Tahfiz Wa Dirasah Al-Islamiah dekat Langkap di sini meminta campur tangan kerajaan negeri berhubung pembinaan sebuah rumah di hadapan pintu masuk sekolah itu sejak bulan lalu.

Pengetua maahad, Suhaimi Abdul Hamid berkata, kedudukan binaan itu bukan sahaja berbahaya, malah tidak masuk akal kerana terlalu hampir dengan pagar utama yang menjadi laluan keluar masuk pelajar dan guru.

Menurutnya, sehingga kini pengurusan sekolah tidak mempunyai kuasa untuk menghalang pembinaan kerana tapak tersebut telah dijadikan lot tanah pemilikan individu.

"Maahad ini dibuka sejak 2004 lagi dan inilah satu-satunya laluan utama yang kami gunakan sampai sekarang.

"Sehinggalah baru-baru ini datang lori bawa alat-alat binaan dan turunkan barang-barang, buat kami terkejut.

"Apabila disemak rupanya ada orang nak bina rumah betul-betul di depan sekolah, ini bukan sahaja mengundang rasa tidak selesa, tak masuk akal pun ya," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, satu surat bantahan telah dikemukakan kepada Menteri Besar Perak pada 7 Julai lepas bagi menangguhkan pembinaan rumah tersebut.

Suhaimi
Suhaimi

Katanya, pembinaan itu jika diteruskan menimbulkan kesulitan kepada pihak sekolah kerana telah menghalang jalan masuk dan menutup bahagian utama sekolah.

"Ini isu pendidikan, kalau boleh jangan sampai pembelajaran anak-anak di sini terganggu.

"Sekiranya diperlukan buat laluan masuk baharu pun akan ambil masa lama kerana semua kawasan persekitaran maahad ini telah didirikan bangunan," katanya.

Mengulas lanjut, Suhaimi berkata, pada 2005 pengurusan maahad telah memulakan inisiatif awal mengemukakan permohonan untuk menggunakan lot tersebut sebagai jalan masuk.

Bagaimanapun jelasnya, permohonan itu tidak pernah menerima sebarang maklum balas daripada mana-mana pihak.

"Kami suarakan bantahan kerana rasa tidak adil, tanpa makluman tanah itu sudah ada pemilik. Sebenarnya kalau mahu dijual lot tersebut, penanung sekolah sanggup beli," katanya.

Operasi maahad tahfiz berkenaan diselia Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) yang melantik jemaah pengurusan untuk menangani sebarang masalah membabitkan 120 pelajar dan 17 guru.

Semua pelajar adalah dalam kalangan lelaki dengan sebahagian besar anak Perak dan beberapa negeri lain antaranya dari Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan serta Pahang.