Perigi timbul dibadai ombak

A
A
A

KUALA NERUS - Perubahan kawasan pesisir Pantai Pangkalan Maras di sini akibat dibadai ombak hingga menampakkan bentuk asal sebuah perigi yang terletak di pantai itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.

Sawiah Mohd Sat, 56, dari Kampung Mengabang Telipot di sini berkata, dia terkejut melihat perubahan ketara yang berlaku kerana baru sahaja berkunjung ke situ baru-bari ini.

"Perubahan ini saya nampak berlaku sejak musim tengkujuh yang melanda dalam sehari dua ini. Saya terkejut sebab bila datang ke sini, kelihatan hampir keseluruhan gelung simen menampakkan bentuk asal perigi ini.

"Saya datang dalam dua minggu lalu kedudukan perigi itu masih seperti biasa walaupun dah berlaku hakisan di kawasan ini," katanya ketika ditemui di pantai itu petang semalam.

Sawiah berkata, dia datang ke situ bersama anaknya, Emilia Wahida Jali, 30, dan cucunya untuk beriadah di kawasan itu.

Sementara itu, Rokiah Hassan, 55, dari Perumahan Taman Gong Badak 4, berkata, dia berkunjung ke situ hampir setiap hari untuk membeli ikan.

"Saya selalu datang ke sini untuk beli ikan, hari ini datang nak bawa cucu bermain tapi tempat ini sudah berubah.

"Tiada lagi pasir untuk kanak-kanak bermain, semuanya sudah dihanyutkan ke pantai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Keadaan gelung simen sebuah perigi yang tinggal selepas dibadai ombak kuat musim tengkujuh ini.
Keadaan gelung simen sebuah perigi yang tinggal selepas dibadai ombak kuat musim tengkujuh ini.

Bercerita lanjut, katanya, penduduk di kawasan sekitar itu ada kalanya tidak tidur malam ekoran masalah hakisan yang berlaku di kawasan itu.

"Memang penduduk di sini ambil langkah berjaga-jaga. Ada antara mereka sampai tak tidur malam bimbang ombak besar dan angin kuat.

"Ada juga antaranya pindah ke tempat lain dan terpaksa meninggalkan rumah di sini," katanya.

Oktober lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melakukan lawatan bagi melihat sendiri keadaan yang berlaku di kawasan itu.

Katanya, peruntukan sebanyak RM90 juta disalurkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu bagi menangani masalah hakisan pantai yang berlaku di pantai itu.

Menurut Ahmad Samsuri, hakisan sepanjang 500 meter yang bermula dari Mengabang Telipot akan bertambah teruk jika tidak ditangani segera.

"JPS Terengganu perlu mengambil langkah awal bagi kerja-kerja penambakan di pantai ini," katanya.