Kerajaan kembalikan pencen kepada amaun asal - PM

Anwar
Anwar
A
A
A

PUTRAJAYA - Pencen dan pencen terbitan bagi bulan Julai hingga Disember tahun ini dibayar menggunakan amaun pencen asal.

Menerusi kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jun lalu.

"Kerajaan mengambil maklum akan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 27 Jun 2023 yang memutuskan bahawa Seksyen 3 dan 7 Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013 [Akta A1447] tidak sah dan undang-undang sebelum pindaan adalah terpakai dengan sendirinya bagi tujuan penyelarasan pencen," katanya pada Rabu.

Beliau berkata, amaun pencen asal adalah mengikut tafsiran iaitu pegawai awam yang bersara sebelum 2013, bayaran pencen dikembalikan kepada amaun Disember 2012.

"Bagi pegawai awam yang bersara mulai 2013 pula, bayaran pencen dikembalikan kepada amaun asal semasa bersara," katanya.

Anwar berkata, perbezaan amaun pencen semasa dengan amaun pencen asal terus dibayar dalam bentuk bantuan khas yang dinamakan sebagai Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP).

"Ia bagi menjadikan amaun yang diterima oleh pesara sama seperti amaun pencen semasa iaitu amaun pencen pada Jun 2023.

"Kerajaan sentiasa menghargai sumbangan pesara semasa berkhidmat dan prihatin dengan kebajikan pesara dalam keadaan dan situasi sekarang," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan juga akan mengkaji semakan gaji perkhidmatan awam dan ia akan turut melibatkan pesara perkhidmatan awam.

"Penyelarasan pencen akan dilaksanakan mengikut peratusan kenaikan yang telah ditetapkan selaras dengan Akta Penyelarasan Pencen 1980 [Akta 238].

"Hasil keputusan ini diharap dapat memberikan impak positif kepada

kakitangan awam, pesara-pesara perkhidmatan awam dan kerajaan," ujar beliau.