Sila log masuk terlebih dahulu.

Isytihar harta hanya 'separuh masak'

A
A
A

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mempunyai kuasa untuk mengesahkan pengisytiharan harta yang dibuat oleh anggota Parlimen.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Shamsun Bahrin Mohd Jamil berkata, buat masa ini tiada peruntukan dalam undang-undang mengenai perkara tersebut.

Ertinya wakil rakyat mungkin membuat pengisytiharan harta tiak benar atau palsu dan tiada siapa boleh menyiasat kesahihan apa yang diisytiharkan.

Maka ada setengah pihak beranggapan perisytiharan harta yang mula dikuatkuasakan sepenuhnya 5 Disember ini sebagai ‘perisytiharan separuh masak.’

*MAKA tersebut alkisah Menteri Pelancongan Mohammadin Ketapi yang mengisytiharkan aset peribadinya sebagai wakil rakyat hanya sebanyak RM9,388.

Menurut beliau, itu adalah nilai sebuah motosikal, satu-satunya harta yang dimiliki sebagai anggota Parlimen dan menteri yang bergaji RM54,979.53 sebulan.

Katanya selain sebuah motosikal dia tidak memiliki apa-apa sebab rumah dan aset lain semua atas nama isteri beliau. Hatta kenderaan yang digunakan pun adalah milik kerajaan.

Maka beliau mungkin menteri dan anggota parlimen yang paling sedikit memiliki harta, tidak sampai pun RM10,000!

Artikel Berkaitan:

*PERKAHWINAN muhibbah. Semakin ramai rakyat Malaysia berkahwin dengan pasangan yang bukan sama bangsa.

Menurut laporan Perkahwinan & Perceraian Jabatan Stastik 9 peratus atau 18,509 dari 206,253 perkahwinan pada 2018 adalah pasangan bukan sebangsa.

Laporan itu menyebut, sejumlah 48.3 peratus daripada perkahwinan berlainan etnik itu terdiri pasangan beragama Islam sementara 51.7% bukan Islam.

Maka teringat saya zaman dulu-dulu, apabila kahwin campur jarang terjadi dan dianggap melanggar adat. Waktu itu, ada istilah Cina masuk Melayu, dan India masuk Melayu.

Kini kahwin lain bangsa menjadi trend dengan Punjabi masuk Melayu, Arab masuk Melayu dan semakin ramai Bangla masuk Melayu.

*TIDAK hujan tidak ribut, tiba-tiba abu mayat Chin Peng, ketua Parti Komunis Malays (PKM), telah dibawa balik ke negara ini, ditaburkan ke dalam laut dan dalam hutan.

Maka riuh-rendahlah ‘satu Malaya’. Ramai yang marah knapa abu pengkhianat itu dibenarkan masuk ke negara berdaulat ini.

Tetapi ada juga yang mempertahankan tindakan membawa pulang abu mayat Chin Peng, termasuk mantan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor, dan Perdana Mentri Tun Dr Mahathir Mohamag.

Rahim berkata PKM bukan lagi ancaman kepada negara. Tun M kata, Chin Peng telah mati dan abu tidak ada apa-apa erti pun.

Perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) telah berakhir sejak parti itu menandatangani Perjanjian Damai dengan kerajaan di Hatyai, Thailand pada Dis 1989.

Maka tidak payahlah kita bermuram durja dan bergundah-gulana hanya kerana abu. Kalau hendak kita pengkhianat bukan Chin Peng sahaja; skandal 1MDB pun pengkhianat juga.

Maka lupakan sahaja abu itu. Banyak lagi perkara lebih mendesak yang perlu kita tangani.

*PENGANJUR kejohanan taekwondo menjelaskan bahawa bintang lima bucu pada logonya bukanlah Jalur Gemilang.

Pengerusi penganjur CK Classic International CK Karan berkata bintang lima bucu yang digunakan mereka sebahagian daripada logo rasmi yang telah lama digunakan, dan bukan satu kesilapan.

Kalaulah ada sedikit keprihainan, kita sepatutnya tidak mengubahsuai bendera negara untuk menjadi logo. Carilah idea lain jangan bendera negara pun hendak dijadikan logo.

Selalu kena ingat, Jalur Gemilang adalah lambang dan logo negara, bukan logo taekwondo!

*AKHIR kalam, sekiranya hendak belajar akhlak dan budi pekerti, parlimen @ dewan yang mulia bukanlah tempat yang baik dijadikan contoh.

Maaf cakap sesetengah anggota Parlimen kita memberi contoh yang tidak baik untuk orang ramai khasnya kanak-kanak belajar budi bahasa.

Ahli-Ahli Yang Berhormat kita baik kerajaan mahu pun pembangkang berkelakuan tidak senonoh ketika berdebat di Parlimen.

Ada yang menjerit, memaki-hamun malah mencarut di dewan yang mulia itu. Perlakuan mereka yang jelek itu kini boleh ditonton menerusi siaran langsung TV.

Amat memalu dan merendahkan taraf YB apabila mereka menyumpah seranah dan mengeluarkan kata-kata lucah semasa berdebat.

Rakyat, termasuk kanak-kanak boleh perhatikan perangai buruk YB-YB mereka; YB-YB seperti ini jangan dipilih lagi pada pilihan raya akan datang. Si mulut longkang tidak layak dipanggil YB.

TOK PERAK