'Jika UMNO jaguh Melayu, kenapa tidak dapatkan keadilan untuk Najib' - Mohd Nazifuddin

Mohd Nazifuddin (kiri), Najib
Mohd Nazifuddin (kiri), Najib
A
A
A

SHAH ALAM - Datuk Mohd Nazifuddin Najib mempersoalkan usaha UMNO dalam mendapatkan keadilan kepada pemimpinnya terutama dalam pembelaan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak jika benar parti itu merupakan jaguh orang Melayu.

Anak kepada bekas Perdana Menteri itu membangkitkan persoalan tersebut sebagai mengenang genap setahun tempoh Najib dipenjarakan.

"Jika UMNO hari ini yang mana adalah sebahagian daripada kerajaan dan jaguh orang Melayu, kenapa kita (UMNO) tidak boleh mendapatkan keadilan untuk pemimpin kita sendiri.

“Jika Tun Razak (Perdana Menteri Malaysia kedua) dipenjarakan hari ini dan bukan DSN (Datuk Seri Najib), adakah kita akan dapat keadilan untuknya?” soalnya menerusi kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu Ketua UMNO Langkawi itu berkata, rakyat sudah bersuara bahawa ia bukan sekadar isu ekonomi dan keperluan asas tetapi isu prinsip serta hak asasi manusia sewaktu pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini.

Beliau berkata, apa yang sedang berlaku kepada bapanya adalah sesuatu yang zalim dan cukup menyedihkan berdasarkan ulasan seorang Hakim yang menghakimi Najib mengenai dana RM42 juta.

“Duit ini yang bukannya dari hasil rompakan atau mana-mana sumber yang salah di sisi perundangan, bahkan bukan pula dari kantung KWAP (Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan) tetapi diberi oleh syarikat-syarikat perniagaan bagi tujuan CSR (tanggungjawab sosial korporat).

“Malahan terbukti berkali-kali oleh pihak bank dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dalam perbicaraan itu akan terdapatnya ‘money trail’ bahawa ayahanda turut menerima sekurang-kurangnya RM642 juta sumbangan mahupun derma dari Arab Saudi.

Artikel Berkaitan:

“Ini termasuk pindahan terus dari akaun bank Kementerian Kewangan Arab Saudi ke akaun ayahanda. Dokumen pembuktian ini telah pun ‘leak’ dan tersebar meluas di lapangan media sosial,” katanya.

Sementara itu Mohd Nazifuddin berkata, beliau dan ahli keluarga tidak faham serta kecewa kepada rakyat yang bagaikan tidak menghargai jasa bekas Perdana Menteri itu dalam menaikkan negara sepanjang memegang tampuk pemerintahan negara.

Malah ujarnya, bukti kecemerlangan mudah diperoleh di saluran media sosial atau enjin carian dan bukan hanya rekaan keluarga itu untuk menceritakan kesedihan terhadap hukuman penjara terhadap bapanya.

“Setahun berlalu, keadilan buat ayahanda bagaikan sirna. Ayahanda masih di belakang tirai besi, masih cuba tersenyum untuk kita semua.

“Sejujurnya kami ahli keluarga DSN tidak dapat membendung rasa kecewa kerana setiap pengorbanan yang beliau lakukan dalam memberikan khidmat untuk rakyat dan negara ibarat mengorbankan nyawanya, tidak dihargai,” ujarnya.