Letih punca jumlah kehadiran MP kerajaan sedikit

Johari - Foto Bernama
Johari - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rutin harian yang sibuk, keluar awal dan pulang lewat hampir setiap hari menyebabkan Ahli Parlimen keletihan dan menjadi antara punca kehadiran wakil kerajaan kurang memberangsangkan di Dewan Rakyat semalam.

Ketua Whip Parti Keadilan Rakyat (PRK), Datuk Johari Abdul berkata demikian mengulas jumlah Ahli Parlimen kerajaan yang sedikit semalam sehingga hampir menggagalkan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Menurutnya, wakil rakyat dari Pakatan Harapan (PH) juga kadangkala terikat dengan program tertentu menyebabkan mereka tidak dapat hadir ke Dewan Rakyat.

“Lazimnya dalam sesi kali ini kita balik lewat. Selalunya sampai rumah jam 12 tengah malam dan tidur jam 1 pagi, kemudian bangun awal pagi, jadi keletihan.

“Juga ada banyak program kementerian dan agensi lain pada hujung tahun. Kita ada jadual, ada yang ikut, ada yang tak dapat ikut tapi kita akan pastikan korum mencukupi,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Jelas Ahli Parlimen Sungai Petani itu mungkin perbincangan boleh dibuat bersama Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Mahathir tegur MP tidak hadir sidang Dewan Rakyat

“Mungkin kita kena bincang dengan Speaker untuk lihat bagaimana Ahli Parlimen boleh dapat waktu berkualiti. Sekarang agak penat dan tidak produktif,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Malam tadi, sidang Dewan Rakyat kecoh dengan pertikaman lidah antara wakil kerajaan dan pembangkang ketika sesi undian belah bahagi dilakukan bagi meluluskan RUU Perbekalan 2020 membabitkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berikutan masalah kuorum.

Bagaimanapun, kerajaan berjaya meluluskan RUU itu selepas menang tipis dengan empat undian apabila Speaker mengumumkan seramai 32 orang bersetuju berbanding 28 yang tidak.

Pembangkang kemudian meminta undian belah bahagi dibuat kali kedua namun keputusan kekal berpihak pada kerajaan apabila 45 wakil rakyat bersetuju untuk RUU itu diluluskan berbanding 28 tidak bersetuju.