LCS: Kenapa nak salahkan saya pula?

Hantaran dimuat naik Hishammuddin di laman Facebook miliknya.
Hantaran dimuat naik Hishammuddin di laman Facebook miliknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyindir pihak tertentu yang cuba mencari modal untuk menghentam beliau berhubung isu kelewatan perolehan kapal Littoral Combat Ship (LCS).

Hishammuddin berkata, pihak berkenaan perlu menyemak fakta sebenar mengenai isu tersebut sebelum menyalahkan beliau dan kerajaan terdahulu sebagai punca kelewatan perolehan LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu.

Menurutnya, LCS gagal diserahkan mengikut jadual berpunca daripada beberapa sebab seperti mana diakui Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu pada 29 Oktober lalu.

“Mohamad Sabu sendiri akui kelewatan perolehan LCS berpunca daripada kontraktor gagal siapkan reka bentuk dalam tempoh ditetapkan.

“Kontraktor lewat muktamadkan perolehan sebahagian peralatan dan kualiti kerja yang tidak memuaskan serta tidak ikut spesifikasi,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook hari ini.

Hishammuddin berkata, punca kelewatan perolehan LCs turut pernah dimaklumkan Pengarah Urusan Boustead Heavy Industries Corporation Berhad, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor pada 31 Oktober 2018.

Menurutnya, punca kelewatan yang dinyatakan termasuk menunggu komponen penting dari syarikat berpangkalan di United State (US).

“Sebab lain ialah sistem kawalan dan enjin telah diterima tetapi mahu mantapkan lagi kapal, jadi kita tunggu peralatan yang diperlukan.

Artikel Berkaitan:

“Kelewatan perolehan LCS normal kerana ini LCS pertama TLDM, jadi ia perlukan beberapa penambahbaikan. Timbalan Menteri Pertahanan, YB Liew Chin Tong pun hadir bila Tan Sri Ahmad Ramli bagi kenyataan ini.

“Kenapa hendak salahkan saya dan kerajaan terdahulu? Kalau ya pun nak cari modal untuk hentam saya, 'check la' fakta betul-betul dulu,” katanya.