X

Kindly register in order to view this article
!

Kim Swee dalam dilema

Kim Swee akui berdepan kesukaran memilih senarai akhir 20 pemain untuk ke Sukan SEA Filipina hujung bulan ini.
A
A

PENGENDALI skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee mengakui berdepan dilema untuk mengisi senarai akhir 20 pemain yang akan ke saingan Sukan SEA di Filipina, penghujung bulan ini.

Menurutnya, kesemua pemain ketika ini memberikan impak yang baik selain menampilkan persembahan cemerlang ketika bersama skuad B-22 negara dalam sesi latihan.

"Beberapa pemain di jentera serangan contohnya seperti Luqman Hakim Shamsudin, Akhyar Rashid, Muhammad Khairul Amizan dan Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak memberikan situasi sukar untuk saya membuat pilihan kerana kesemua mereka bermain dengan baik.

"Senarai akhir pemain akan saya umumkan esok. Sudah tentu 20 pemain untuk saya namakan agak mencabar. Itu merupakan petanda positif," katanya selepas perlawanan persahabatan di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) petang tadi.

Kim Swee berkata, untuk memilih pemain beliau perlu melihat dari segi keseimbangan dalam pasukan.

"Semua kena faham bahawa saya hanya boleh pilih 20 pemain berbanding kejohanan AFC yang saya boleh bawa 23 pemain.

"Oleh itu kemungkinan saya perlu ambil pemain yang boleh bermain di dua posisi untuk membolehkan pemain utama berehat," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai status Wan Kuzain Wan Kamal, Kim Swee menegaskan masih ada beberapa perkara yang belum selesai membabitkan pemain Sporting Kansas City itu.

"Wan Kuzain tunjukkan persefahaman baik bersama skuad B-22 namun masih belum ada kata putus mengenainya.

"Saya harap jika semua berjalan lancar kita akan dapat senaraikannya, tetapi jika tidak, kita terpaksa melupakan khidmatnya. Segalanya akan ditentukan esok," katanya.

Diundi dalam Kumpulan A, Malaysia akan memulakan kempen bertemu Myanmar pada Isnin, diikuti Filipina (29 November), Timur Leste (2 Disember) dan Kemboja (4 Disember).