Sukan SEA: Ganjaran RM2 juta menanti skuad bola keranjang

Tian Hock ketika ditemui media selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan bola keranjang negara di Wisma OCM pada Rabu. - Foto Bernama
Tian Hock ketika ditemui media selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan bola keranjang negara di Wisma OCM pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

SKUAD bola keranjang negara diberikan suntikan semangat untuk memburu pingat di Sukan SEA Kemboja 2023 apabila mereka dijanjikan ganjaran lumayan bernilai sehingga RM2 juta sekiranya berjaya menghadiahkan pingat emas buat negara.

Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Datuk Seri Lee Tian Hock berkata, ia adalah dalam usaha memberikan motivasi kepada kira-kira 40 atlet dan pegawai MABA untuk membutirkan pingat pada temasya dwitahunan tersebut.

"Saya ada bagi insentif sendiri kepada pemain kalau mereka dapat pingat, insentif sama seperti tahun lalu di Vietnam, kalau mereka dapat emas akan dapat RM50,000 setiap pemain dan pegawai, untuk jurulatih RM100,000.

"Sekiranya dapat pingat perak RM20,000, jurulatih RM40,000, gangsa pemain RM10,000 dan jurulatih RM20,000, ganjaran ini bagi kedua-dua acara yang dipertandingkan, cuma bagi acara 3X3 jurulatih akan dapat sama dengan pemain,” katanya pada Majlis penyerahan Jalur Gemilang dan pengumuman pasukan bola keranjang negara ke Sukan SEA Kemboja di sini pada Rabu.

Skuad bola keranjang berpasukan wanita sebelum ini sekadar membawa pulang satu pingat gangsa pada temasya dwitahunan itu di Hanoi, tahun lalu selain memperoleh ganjaran berjumlah RM10,000 daripada Tian Hock.

Skuad bola keranjang wanita bakal membuka tirai perlawanan bagi acara 3x3 bagi peringkat Kumpulan B bertemu tuan rumah Kemboja, Indonesia dan Singapura pada 6 Mei.

Bagi acara berkumpulan mereka telah diundi dalam Kumpulan A untuk bertemu Kemboja (9 Mei), Singapura (10 Mei), Indonesia (11 Mei), Vietnam (12 Mei), Thailand (13 Mei) dan Filipina pada 15 Mei ini.

Sementara pasukan lelaki menyaksikan skuad kebangsaan diundi dalam Kumpulan B bertemu Singapura, Thailand dan Kemboja acara 3x3 pada 6 Mei.

Acara berpasukan pula mereka akan membuka tirai saingan Kumpulan A bertemu Filipina pada 9 Mei diikuti menentang Singapura pada 11 Mei sebelum menutup saingan peringkat kumpulan bertemu tuan rumah Kemboja pada 13 Mei.

Sementara itu, Tian Hock berkata, skuad kebangsaan tidak akan menggunakan khidmat pemain naturalisasi kerana perkara itu memerlukan beberapa prosedur sebelum mendapat kebenaran daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Saya harap, kalau boleh saya menyeru kerajaan dan jemaah Kabinet dapat luluskan untuk pemain naturalisasi di negara ini, saya ada buat cadangan ini pada dialog bersama Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh tapi ini akan makan masa yang lama.

"Kita tak ada sasaran tinggi tahun ini sebab kita tahu kelemahan kita, bola keranjang kita perlukan pemain yang tinggi,” katanya. - Bernama