Pusat Rehabilitasi Perkeso dapat restu Sultan Perak

Sivanesan pada Sidang DUN Perak.
Sivanesan pada Sidang DUN Perak.
A
A
A

IPOH - Pembinaan Pusat Rehabilitasi Perkeso yang akan dibangunkan di negeri ini mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia, A Sivanesan berkata, pusat bertaraf antarabangsa melibatkan jumlah pelaburan RM500 juta itu bukan satu pembaziran kerana diyakini membawa impak positif kepada negeri Perak termasuk peluang pekerjaan.

"Dalam perbahasan YB (Yang Berhormat) Pengkalan Baru telah menyatakan bahawa pembinaan pusat rehabilitasi ini satu projek yang tidak munasabah.

"Untuk makluman, projek ini merupakan projek yang direstui oleh Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.

"Menteri Sumber Manusia (M Kula Segaran) telah mencadangkan pembinaan pusat ini untuk pesakit dari kawasan utara iaitu dari Perlis hingga Selangor," katanya pada sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Beliau berkata, pusat berkenaan akan memberi manfaat kepada hampir 12 juta pekerja yang menjadi pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Antara modul rehabilitasi yang ditawarkan di pusat berkenaan adalah fisioterapi, terapi cara kerja, optometri, audiologi, vokasional dan kemudahan lain membabitkan penginapan, wad dan hostel.

Antara kawasan dicadang bagi pembinaan pusat berkenaan adalah Lembah Kinta seluas kira-kira 40 hektar.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Paul Yong Choo Kiong ketika menggulung portfolio Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu memberitahu, Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) kini memberi tumpuan terhadap pembangunan rumah transit bagi golongan belia dan untuk kegunaan bencana.

Katanya, sebanyak 304 unit rumah transit belia sedang dibangunkan di Bandar Transit Belia Tanjung Malim untuk kemudahan kumpulan itu yang belum mendapat pekerjaan.

Pada masa sama katanya, LPHP juga mempunyai sejumlah 2,537 unit rumah PPR yang boleh dipohon untuk dijadikan rumah transit sementara kepada mangsa bencana.

"Kita juga sedia mempertimbangkan beberapa unit rumah di skim perumahan yang dibangunkan sebagai rumah transit sementara untuk mangsa kebakaran dan bencana alam," katanya.