Isu 3R: Sultan Nazrin titah persembahkan terus ke pengetahuan baginda

Sultan Nazrin - Foto Bernama
Sultan Nazrin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA KANGSAR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan agar setiap perkara membabitkan isu agama, raja dan kaum (3R) dipersembahkan terus kepada pengetahuan baginda.

Titah baginda, perkara sedemikian sekiranya dibangkitkan hendaklah dimaklumkan dengan segera.

"Jika berlaku perkara menyentuh agama, raja dan kaum, segera dipersembahkan kepada pengetahuan beta dan mendapat nasihat beta.

"Sekiranya perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa dan badan perundangan," titah baginda sempena Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-172 di Istana Iskandariah Kuala Kangsar di sini pada Sabtu.

Sultan Nazrin bertitah, sejak kebelakangan ini isu-isu sedemikian semakin disensasikan dan dipolitikkan.

"Perkara ini jika dibiarkan berlarutan sangatlah tidak baik. Kestabilan negara akan terjejas sekali gus menjejaskan usaha-usaha pembangunan dan membangunkan ekonomi," titah baginda.

Baginda mahu usaha-usaha preventif menghindarkan perkara sedemikian daripada berlarutan wajib dirintis, malah langkah-langkah tegas membendung perlu dilaksanakan.

Dalam hal itu, kata baginda, Ahli-ahli Dewan Negara dan Orang Besar Jajahan hendaklah memainkan peranan yang proaktif menggerakkan usaha preventif.

Artikel Berkaitan:

"Orang Besar Jajahan terutamanya perlu mendampingi jawatankuasa dan pegawai masjid, sering mengadakan pertemuan dan perbincangan dalam jajahan masing-masing, berusaha ke arah menyatupadukan rakyat," titah baginda.

Dalam titah ucapan itu, Sultan Nazrin turut menekankan pentingnya sekolah berperanan menyemai semangat perpaduan dan kesetiaan kepada raja dan negara.

Titah baginda, generasi remaja semakin menjadi komponen terbesar rakyat di negara ini, maka kelompok itu wajib diberikan bimbingan untuk menjadi warga berharga kepada negara bangsanya.

"Beta turut menyeru Orang Besar Jajahan mendampingi golongan remaja dengan mengadakan pertemuan, dialog dan perbincangan dengan pemimpin belia di jajahan masing-masing.

"Berikan masa untuk menghadiri dan meraikan kegiatan para belia di jajahan masing-masing. Bimbing dengan kata-kata nasihat dan hulurkan bantuan untuk menjayakan kegiatan-kegiatan mereka untuk membolehkan mereka menjadi warga yang berharga kepada negara bangsanya," titah baginda.