Jabatan Mufti Perak perkenal buku digital tadabbur Surah Al-Mulk sempena Ramadan

Zamri
Zamri
A
A
A

IPOH – Jabatan Mufti Negeri Perak buat pertama kali memperkenalkan buku digital Tadabbur Surah Al-Mulk: Kuasa Dunia dan Akhirat sebagai inisiatif ilmiah bagi menggalakkan umat Islam mendekati serta menghayati al-Quran sepanjang bulan Ramadan.

Timbalan Mufti Negeri Perak, Zamri Hashim berkata, Ramadan merupakan bulan terbaik untuk umat Islam berinteraksi dengan al-Quran sebagaimana firman ALLAH SWT bahawa Ramadan adalah bulan diturunkan al-Quran.

Menurutnya, antara bentuk interaksi terbaik ialah memahami dan mentadabbur ayat-ayat suci al-Quran secara mendalam.

"Alhamdulillah dengan izin ALLAH SWT, Jabatan Mufti Negeri Perak dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perak telah berjaya mengusahakan dan menerbitkan e-book Tadabbur Surah Al-Mulk: Kuasa Dunia dan Akhirat yang merupakan satu inisiatif ilmiah yang bertujuan untuk mendekatkan masyarakat dengan penghayatan dan tadabbur al-Quran.

"Pada tahun ini, Jabatan Mufti Negeri Perak mencadangkan kepada semua masjid dan surau, orang perseorangan, jabatan kerajaan serta syarikat swasta untuk bersama-sama mentadabbur salah satu surah dalam al-Quran iaitu Surah Al-Mulk,” katanya menerusi satu rakaman video pada Selasa.

Zamri berkata, buku digital berkenaan menghimpunkan huraian lengkap setiap ayat dalam Surah Al-Mulk bermula ayat pertama hingga ayat ke-30, selari dengan tempoh 30 hari Ramadan.

Jelasnya, ia disusun secara berperingkat agar mudah difahami dan boleh diamalkan dalam kehidupan seharian.

"Keistimewaan tadabbur surah ini ialah ia dilengkapi dengan fiqh ayat, pengajaran ayat serta perbincangan isu-isu semasa.

"Turut dimuatkan ialah aplikasi kehidupan dan hubung kait antara satu ayat dengan ayat yang lain," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, orang ramai boleh mendapatkan buku digital Tadabbur Surah Al-Mulk: Kuasa Dunia dan Akhirat melalui portal serta Facebook rasmi Jabatan Mufti Negeri Perak.

Sebagai cadangan pelaksanaan, beliau menyarankan agar pembacaan dan tadabbur dilakukan satu ayat setiap hari sepanjang Ramadan.

Ringkasan AI

  • Jabatan Mufti Negeri Perak memperkenalkan buku digital Tadabbur Surah Al-Mulk: Kuasa Dunia dan Akhirat bagi menggalakkan umat Islam mendekati al-Quran di bulan Ramadan
  • Buku digital ini bertujuan untuk mendalami pemahaman ayat-ayat suci al-Quran
  • Inisiatif ini dihasilkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perak
  • Buku tersebut menghimpunkan huraian lengkap dari ayat pertama hingga ayat ke-30 Surah Al-Mulk
  • Buku digital ini tersedia melalui portal dan Facebook rasmi Jabatan Mufti Negeri Perak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!