MCA digesa siasat terima dana RM16.5j

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

GEORGETOWN - MCA dituntut untuk menyiasat dakwaan sumber dana berjumlah RM16.5 juta yang diterimanya dari kerajaan BN dalam PRU13 lalu.

Gesaan itu dibuat Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng susulan daripada pengakuan bekas Presiden MCA, Tan Sri Dr Chua Soi Lek tentang penerimaan dana tersebut tahun lalu.

Menurutnya, MCA tidak wajar untuk tidak mengendahkan pengakuan itu kerana ia diakui sendiri oleh bekas presidennya.

"Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong tidak seharusnya mengambil pendirian seolah-olah tidak mengetahui atau lepas tangan mengenai dana tersebut.

"Beliau perlu menyiasat kerana bekas presiden MCA telah mengakuinya bahawa parti itu merupakan salah satu parti yang menerima dana pilihan raya.

"Sekiranya ia datang dari skandal 1MDB, maka wang itu perlu dipulangkan semula kepada rakyat. Jangan buat tak tahu dan lepas tangan sahaja seolah-olah parti itu tidak menerima satu sen pun sebelum ini," katanya kepada media tadi.

Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ka Siong bahawa MCA tidak menerima sebarang dana dari 1MDB.

Ka Siong berkata demikian dalam wawancara oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris bahawa sejak beliau menjadi Timbalan Presiden MCA pada 21 Disember 2014, parti itu tidak menerima satu sen dari 1MDB.

Artikel Berkaitan:

Guan Eng menambah, kerajaan baharu tidak akan mengabaikan kesalahan yang dilakukan kerajaan BN antaranya wang cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang tidak dikembalikan sebanyak RM19.47 bilion.

"Ia juga perkara sama tetapi kita tidak akan cuci tangan malah kita sedang berusaha untuk mengembalikan wang GST tersebut kepada syarikat dan individu terlibat," katanya.

Terdahulu, menerusi laporan akhbar, Soi Lek mengakui secara terbuka bahawa bekas Presiden BN, Datuk Seri Najib Abdul Razak telah mengagihkan dana berjumlah RM470 juta kepada parti komponen BN dalam PRU13.

Pengakuan itu turut menyatakan bahawa MCA adalah salah satu parti yang menerima dana berkenaan.