Ahmad Zahid mohon jadi penandatangan tunggal Yayasan Akalbudi: Saksi

Ahmad Zahid (kanan) ketika sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. -Foto Bernama
Ahmad Zahid (kanan) ketika sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga pengasas Yayasan Akalbudi telah memohon untuk menjadi penandatangan tunggal bagi Yayasan itu.

Bekas pengurus Affin Bank Cawangan Jalan Bunus, Massayu Mohd Ariffin berkata, berdasarkan dokumen bertajuk 'Borang Kemaskini Tandatangan Bagi Yayasan Akalbudi', ia menunjukkan bahawa Ahmad Zahid memohon untuk mengemaskini sebagai penandatangan tunggal dalam satu akaun di bank itu.

Saksi pendakwaan ketiga itu berkata, permohonan berkenaan dikemukakan kepada bank itu pada 20 Jun 2013.

"Dokumen ini (Borang Kemaskini Tandatangan Bagi Yayasan Akalbudi) menunjukkan penama Ahmad Zahid Hamidi telah mohon untuk dikemaskini sebagai penandatangan tunggal bagi Yayasan Akalbudi," katanya semasa membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan hari kedua kes bekas timbalan perdana menteri itu yang menghadapi 47 pertuduhan jenayah melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Massayu, 49, juga mengesahkan bahawa beliau menandatangani cek Affin Islamic Bank Berhad berjumlah RM17,953,185.21 daripada Yayasan Akalbudi kepada Messrs Lewis & Co iaitu pemegang amanah Yayasan berkenaan pada 23 Jun 2016.

Massayu berkata, cek itu dikeluarkan berdasarkan Borang Permohonan Kiriman Wang yang diserahkan kepadanya pada tarikh sama (23 Jun2016).

"Kemudian saya telah tandatangan pada cek ini. Saya merupakan Authorized Signature bagi Banker's Cheque yang dikeluarkan oleh Affin Bank, cawangan Jalan Bunus, Kuala Lumpur," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt.

Sementara itu Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Salma Hanum Ibrahim, 39, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Yayasan Akalbudi tidak pernah menyerah simpan penyata tahunan dan kewangan Yayasan Akalbudi kepada SSM semenjak ia ditubuhkan pada 1997.

Artikel Berkaitan:

Saksi pendakwaan kedua itu berkata, ia berdasarkan semakan sistem SSM iaitu CBS-ROC pada 24 Dis 2018.

Ahmad Zahid, 66, mengaku tidak bersalah terhadap 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - Bernama