Ahmad Zahid tepati janji, jelas bayaran bagi projek pembangunan - Saksi

Ahmad Hamidi (tengah) hadir untuk perbicaraan kesnya di Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto Bernama
Ahmad Hamidi (tengah) hadir untuk perbicaraan kesnya di Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penyelia projek memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sentiasa menepati janji dan menjelaskan setiap bayaran kepada syarikat kontraktor yang melaksanakan projek pembangunan di Bagan Datuk.

Marlin Ahmad, 50, berkata, sikap Timbalan Perdana Menteri itu diberitahu oleh arwah abangnya, Allahyarham Sanusi Ahmad, selaku pengasas syarikat kontraktor, Sutida Enterprise yang mengendalikan projek berkenaan.

"Saya mengetahui hampir kesemua kerja atau projek yang arwah abang saya (Sanusi) lakukan adalah arahan daripada Datuk Seri (Ahmad) Zahid. Kebiasaannya arwah abang akan membuat dulu (kerja) arahan daripada Datuk Seri (Ahmad) Zahid tanpa meminta apa-apa bayaran pendahuluan.

"Ini kerana, Datuk Seri (Ahmad) Zahid seorang yang sentiasa menepati janji dan akan membayar hasil kerja daripada arwah abang. Arwah abang saya juga pernah memberitahu bahawa kadangkala Datuk Seri (Ahmad) Zahid akan membayar lebih kepada arwah abang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membaca pernyataan saksinya pada perbicaraan kes Ahmad Zahid yang diperintah membela diri atas 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Marlin berkata, antara projek yang dilaksanakan oleh Sutida Enterprise di Bagan Datuk sejak 1999 ialah Rumah Anak Yatim Hamidiyah dengan kos RM1.14 juta, Masjid Seri Perkasa bernilai RM600,000, Surau Kampung Parit 25 Darat bernilai RM50,000 serta Dewan Hajah Tuminah menelan belanja RM450,000 dan projek terbaharu adalah pembinaan Sekolah Menengah Imtiaz Tuminah Hamidi.

Menurut saksi pembelaan ke-13 itu, Ahmad Zahid tidak gemar sumbangannya diketahui pihak lain sehinggakan setiap pembinaan yang dilaksanakan oleh Sutida Enterprise tidak pernah dibuat notis atau papan tanda bahawa ia sumbangan Ahmad Zahid.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Seri Perkasa di Kampung Seri Perkasa Hutan Melintang, Bagan Datuk, Atan Sampol, 67, memberitahu mahkamah bahawa Ahmad Zahid sentiasa menjaga serta memberi perhatian kepada penduduk di Bagan Datuk khususnya anak yatim dan penduduk yang susah.

Artikel Berkaitan:

Atan berkata, ahli Parlimen Bagan Datuk itu seorang yang amat pemurah serta dermawan dengan hampir kesemua masjid serta surau di daerah itu adalah daripada sumbangan peribadi Ahmad Zahid.

"Kos pembinaan (masjid) hampir RM600,000 itu adalah 100 peratus sumbangannya daripada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Masjid ini yang siap sepenuhnya pada 2006 dirasmikan pada 2008,” katanya.

Saksi pembelaan ke-14 itu berkata bayaran bagi pembinaan masjid tersebut dibayar terus kepada kontraktor iaitu Allahyarham Sanusi yang telah meninggal dunia pada 2015 akibat penyakit kanser.

Atan yang merupakan ahli jawatankuasa masjid itu hampir 20 tahun, berkata antara sumbangan Ahmad Zahid kepada penduduk Bagan Datuk ialah menyumbang seekor lembu bagi setiap 50 masjid dan surau pada setiap kali Raya Haji.

Selain itu, Ahmad Zahid menyumbang 100 ke 200 bungkus makanan asas kepada Masjid Seri Perkasa pada bulan Ramadan serta memberi sumbangan RM100 bagi setiap 1,500 peserta tadarus al-Quran.

Selain itu, Pengerusi Surau An Nur Parit 25 Darat di Bagan Datuk, Mokhtar Tukol, 66, memberitahu mahkamah bahawa sepanjang mengenali Ahmad Zahid lebih 35 tahun semasa Ahmad Zahid baru menceburi bidang politik di Bagan Datuk, beliau (Ahmad Zahid) seorang yang sangat pemurah untuk menyumbang bagi tujuan kebaikan.

"Beliau (Ahmad Zahid) pernah menyatakan kepada saya secara peribadi bahawa apabila beliau berkemampuan dan mempunyai peluang, sudah tentu beliau akan menyumbang sebagai saham beliau di akhirat,” kata saksi pembelaan ke-15 itu.

Menurut Mokhtar, Ahmad Zahid antaranya memberi sumbangan bagi pembinaan serta menambah baik Surau An Nur Parit 25, memberi sumbangan RM200 kepada ibu tunggal, anak yatim, keluarga daif, orang kurang upaya di Bagan Datuk menjelang Ramadan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 4 September ini. - Bernama