Ahmad Zahid tidak suka nama disebut sebagai pemberi sumbangan - Saksi

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Pengetua Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab, Melaka memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak suka namanya disebut atau dimaklumkan sebagai pemberi sumbangan kepada sekolah berkenaan.

Azharizan Yaacob, 47, yang kini Pengetua Maahad Tahfiz Al Quran Hamidiyah di Bagan Datuk berkata, Timbalan Perdana Menteri itu memberitahunya bahawa prinsip beliau (Ahmad Zahid) adalah "apabila tangan kanan memberi, biarlah tangan kiri tidak mengetahui.”

"Tujuan Datuk Seri (Ahmad) Zahid membantu menaja kos operasi sekolah ini kerana saya mengetahui Datuk Seri (Ahmad) Zahid adalah seorang yang amat suka untuk menyumbang kepada jalan agama khususnya bagi tujuan masjid, surau dan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membaca pernyataan saksinya pada perbicaraan kes Ahmad Zahid yang diperintah membela diri atas 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Azharizan berkata, beliau mengetahui bahawa pembinaan serta operasi sekolah swasta berbentuk aliran akademik dan agama itu dibiayai sepenuhnya oleh Ahmad Zahid sendiri.

"Sepanjang sekolah beroperasi dari 2012, Datuk Seri (Ahmad) Zahid memperuntukkan hampir RM30 juta untuk membantu operasi sekolah tersebut dan ini tidak termasuk kos sumbangan bagi pembinaan sekolah berkenaan.

"Hampir setiap bulan Datuk Seri (Ahmad) Zahid akan mengeluarkan cek daripada Yayasan Akalbudi kepada Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab dengan bayaran dalam lingkungan RM170,000 ke RM200,000,” katanya dan menambah bahawa sekolah itu mula beroperasi pada 2012, namun siap sepenuhnya pada 2014.

Menurut saksi pembelaan ke-12 itu, wang bulanan yang disumbang Ahmad Zahid digunakan untuk membayar bil-bil sekolah, gaji tenaga pengajar, makanan untuk pelajar dan kos operasi sekolah yang lain.

Artikel Berkaitan:

Azharizan berkata, kos pengoperasian sekolah itu perlu ditanggung sendiri selain bergantung kepada yuran pelajar dan sumbangan yang diberikan oleh Ahmad Zahid sangat membantu dalam meneruskan operasi harian sekolah.

Katanya, kontraktor asal pembinaan sekolah itu adalah syarikat lain sebelum kerja pembinaan sekolah diambil alih oleh syarikat Teknik Sempurna Sdn Bhd sehingga siap sepenuhnya pada 2014.

Menurut saksi itu, pengurusan sekolah berkenaan diambil alih oleh kerajaan negeri pada 2020 kerana akaun YAB dibekukan berkaitan pertuduhan terhadap Ahmad Zahid di mahkamah.

"Sumbangan bantuan bulanan oleh Datuk Seri (Ahmad) Zahid tidak dapat diteruskan dan menyebabkan sekolah yang mempunyai kira-kira 350 pelajar itu kekurangan dana untuk meneruskan operasi,” katanya.

Menjawab soalan tambahan peguam Aiman Abdul Rahman, yang mewakili Ahmad Zahid, Azharizan berkata, ekoran pembekuan akaun YAB, ibu bapa serta jemaah pengelola sekolah yang dipengerusikan oleh Ahmad Zahid sepakat menaikkan yuran pengajian bulanan kepada RM700 daripada RM500 yang dikenakan pada 2017.

"Oleh sebab akaun Yayasan Akalbudi dibekukan, kami hilang sumber kewangan untuk menanggung operasi dan terpaksa melakukan pelbagai cara termasuk menaikkan yuran tahunan, mengurangkan gaji guru-guru, menutup penyaman udara dan menggantikan dengan kipas,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai cara dilakukan untuk meneruskan operasi sekolah termasuk berhutang bagi menampung kos RM350,000 sebulan manakala kos bagi pembelajaran dan asrama di sekolah itu adalah RM1,500 bagi setiap pelajar.

Selain itu, saksi berkata, Ahmad Zahid juga membuat pelbagai sumbangan untuk kerja-kerja amal jariah antaranya menaja pelajar untuk kursus A-Level di Help University sebagai persediaan untuk melanjutkan pengajian di United Kingdom, menaja 12 guru dari Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab untuk menyambung pengajian peringkat sarjana di Universiti Putra Malaysia selain sumbangan RM12 juta bagi pembinaan Masjid Terapung di Melaka.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Khamis ini (24 Ogos). - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Akaun disita, Ahmad Zahid cari sumber lain untuk masjid - Saksi