Majlis Iran tolak keputusan kerajaan naikkan harga petrol

Penunjuk perasaan di Iran menyekat laluan di bandar Isfahan sebagai membantah kenaikan harga petrol yang diumumkan kerajaan kelmarin.
Penunjuk perasaan di Iran menyekat laluan di bandar Isfahan sebagai membantah kenaikan harga petrol yang diumumkan kerajaan kelmarin.
A
A
A

TEHERAN - Ahli Parlimen Iran dikenali sebagai Majlis membantah keputusan kerajaan untuk menaikkan harga petrol sehingga 50 peratus kepada 15,000 Riyal (RM1.87) seliter dan memaklumkan mereka akan mengemukakan usul bagi menyemak semula langkah kontroversi itu yang telah mencetuskan protes ganas.

Pengerusi Jawatankuasa Majlis untuk Dasar Asing dan Keselamatan Negara, Mojtaba Zonnour berkata, beliau bersama beberapa yang lain menolak keputusan itu berikutan ia tidak diselaraskan bersama Parlimen.

“Kami akan menuntut langkah penggantungan dan pembatalan,” katanya.

Sementara itu, anggota Jawatankuasa Majlis untuk Rancangan dan Belanjawan, Hamidreza Hajibabayi berkata, kenaikan harga secara mendadak itu melanggar undang-undang dan membahayakan kepentingan rakyat serta negara.

Jumaat lalu, kerajaan memutuskan untuk mengurangkan subsidi petrol untuk membiayai penduduk miskin di negara dan harga bahan api tersebut dikatakan antara paling murah di dunia.

Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Khamenei berkata, beliau menyokong keputusan yang telah dibuat tiga cabang kuasa di negara itu yang turut disokong pakar.

Kerajaan memaklumkan lebih AS$2.5 bilion (RM10.3 bilion) yang diperoleh daripada kenaikan harga petrol itu akan disalurkan kepada lebih 70 peratus populasi penduduk di negara tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang anggota polis maut ditembak ketika kejadian pertempuran dengan kumpulan perusuh di bandar Kermanshah di barat Teheran yang membantah kenaikan harga petrol. - Agensi

Artikel Berkaitan: