Siasatan kes tanah runtuh selesai

Kejadian tanah runtuh di Bukit Kukus Oktober lalu.
Kejadian tanah runtuh di Bukit Kukus Oktober lalu.
A
A
A
GEORGETOWN - Polis sudah melengkapkan siasatan berhubung kejadian tanah runtuh di Bukit Kukus, Paya Terubong yang mengorbankan sembilan nyawa pekerja asing pada 19 Oktober lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Seri A Thaiveegan berkata, malah kertas siasatan kes itu sudah dihantar ke pejabat pendakwaan Pulau Pinang untuk tindakan selanjutnya.

“Semuanya (siasatan) telah siap sepenuhnya melainkan jika ada arahan baru dan kami sekarang ini menunggu arahan lanjut daripada pejabat pengarah pendakwaan negeri untuk proses selanjutnya.

“Saya tidak boleh dedahkan dapatan daripada siasatan kes itu dan biar pihak pendakwa raya akan lihat dan teliti terlebih dahulu kertas siasatan berkenaan,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, lebih 70 orang saksi daripada pelbagai jabatan serta agensi dipanggil dan dirakam percakapan sebelum ini.

Dalam kejadian 19 Oktober lalu, sembilan mangsa ditemui maut tertimbus manakala tiga lagi cedera dan kawasan berkenaan terletak kira-kira 500 meter dari lokasi runtuhan rasuk yang berlaku dua minggu sebelum itu.

Projek bernilai RM545 juta itu dijangka siap pada Mac 2020 kerana beberapa faktor antaranya cabaran di tapak dan proses pengambilan tanah.

Projek tersebut melibatkan empat bahagian termasuk bahagian pertama membabitkan pelebaran Lebuh Raya Thean Teik yang sudah siap sepenuhnya.

Bahagian kedua di bawah pemaju swasta namun belum bermula kerana masih dalam proses Lembaga Rayuan manakala bahagian ketiga yang saudah mencapai 30 peratus dijangka siap 2021.
Artikel Berkaitan:


Sementara itu, kawasan runtuhan merupakan bahagian keempat di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melibatkan kawasan Majestic Heights ke Bukit Jambul, Jalan Tun Sardon yang bersambung dengan Bukit Kukus.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Siasatan tanah runtuh Bukit Kukus hampir selesai ]