19 rumah disedia untuk kakitangan SPRM terjejas tanah runtuh

Keadaaan sekitar lokasi runtuhan di hadapan pintu masuk MACA di Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin.
Keadaaan sekitar lokasi runtuhan di hadapan pintu masuk MACA di Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 19 buah rumah akan disediakan kepada kakitangan dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di hadapan pintu masuk Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin di sini pada Selasa lalu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Dr Zulkapli Mohamad berkata, kemudahan itu bagi memastikan kesemua mereka terlibat tidak terganggu disebabkan kejadian tersebut.

"Perbincangan telah dijalankan melibatkan pihak berkaitan dan kita akan sediakan kemudahan 19 buah rumah kepada mereka ini di kawasan-kawasan berdekatan tempat kerja mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau sekitar lokasi runtuhan di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hj Hasnol Zam Zam; Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), Datuk Zulkipli Nasri dan Timbalan Pesuruhjaya SPRM, Datuk Idris Zaharudin.

Zulkapli berkata, perancangan membaik pulih runtuhan tanah itu berkemungkinan mengambil masa sehingga dua minggu.

"Beberapa kemudahan lain turut disediakan bagi memastikan perjalanan kerja dan operasi MACA serta agensi berkaitan berjalan lancar.

Kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga di sekitar lokasi runtuhan di hadapan pintu masuk MACA di Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin.
Kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga di sekitar lokasi runtuhan di hadapan pintu masuk MACA di Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin.

"Selain itu, jalan alternatif turut akan dibuka Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memudahkan urusan kakitangan MACA," katanya.

Pada Rabu, pihak polis memaklumkan kerja menanam cerucuk besi di lokasi tanah runtuh berhampiran MACA akan dilaksanakan pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, keputusan itu hasil mesyuarat pasukan teknikal JKR, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

"Perancangan fasa satu itu dilaksanakan termasuk proses membina akses laluan bagi membolehkan 50 kenderaan membabitkan kereta, motosikal dan bas dibawa keluar dari MACA.

"Kemudian untuk fasa dua, kerja pemasangan cerucuk besi akan dilaksanakan di kawasan runtuhan yang dijangka mengambil masa selama dua minggu," katanya.