Tanah runtuh: Bekalan air di MACA ditutup

Air Selangor memaklumkan tindakan menutup bekalan air bagi menghalang air mengalir ke kawasan terjejas sekali gus memudahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan. - Foto Air Selangor
Air Selangor memaklumkan tindakan menutup bekalan air bagi menghalang air mengalir ke kawasan terjejas sekali gus memudahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan. - Foto Air Selangor
A
A
A

SHAH ALAM - Bekalan air di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dekat Persiaran Tunku Syed Sirajuddin, Bukit Tunku ditutup susulan kejadian tanah runtuh di pintu utama premis berkenaan.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan tindakan itu bagi menghalang air mengalir ke kawasan terjejas.

"Kami bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dengan menutup bekalan air ke premis terbabit.

"Langkah ini diambil bagi menghalang air daripada terus mengalir ke kawasan terjejas untuk membantu memudahkan siasatan oleh pihak berkuasa.

"Pada masa sama, kami juga telah memasang injap tambahan sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya kawasan yang terjejas merebak," kata Air Selangor dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Khamis.

Pada Selasa lalu, seramai 76 petugas pentadbiran MACA dan Institut Integriti Malaysia berdepan detik cemas berikutan berlaku runtuhan tanah di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai dilaporkan berkata, takungan air di sebelah pagar MACA dan paip pecah bawah tanah dipercayai menjadi antara punca kejadian berkenaan.