GEORGETOWN - Siasatan kes kejadian tanah runtuh di Projek Pembinaan Jalan Berkembar Paya Terubong di Jalan Bukit Kukus hampir selesai.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Seri A Thaiveegan berkata, hampir 70 orang saksi dari pelbagai jabatan serta agensi dipanggil dan dirakam percakapan sepanjang siasatan dilakukan.

“Setelah siasatan lengkap, hasilnya akan diserahkan kepada pejabat Pengarah Pendakwaan negeri dan kita akan tunggu arahan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam kejadian 19 Oktober lalu, sembilan mangsa ditemui maut tertimbus manakala tiga lagi cedera dan kawasan berkenaan terletak kira-kira 500 meter dari lokasi runtuhan rasuk yang berlaku dua minggu sebelum itu.

Projek bernilai RM545 juta itu dijangka siap pada Mac 2020 kerana beberapa faktor antaranya cabaran di tapak dan proses pengambilan tanah.

Projek tersebut melibatkan empat bahagian termasuk bahagian pertama membabitkan pelebaran Lebuh Raya Thean Teik yang sudah siap sepenuhnya.

Bahagian kedua di bawah pemaju swasta namun belum bermula kerana masih dalam proses Lembaga Rayuan manakala bahagian ketiga yang saudah mencapai 30 peratus dijangka siap 2021.

Sementara itu, kawasan runtuhan merupakan bahagian keempat di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melibatkan kawasan Majestic Heights ke Bukit Jambul, Jalan Tun Sardon yang bersambung dengan Bukit Kukus.