252 pegawai, anggota polis ditahan positif dadah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 252 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditahan kerana positif dadah sejak Tan Sri Abdul Hamid Bador dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 23 Mei lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, mereka akan berdepan tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 1993 (Kelakuan dan Tatatertib) yang boleh dikenakan hukuman bermula amaran sehingga buang kerja.

“PDRM memandang serius masalah ini. Jika disabitkan kesalahan, pegawai atau anggota boleh dikenakan tindakan di bawah berkenaan sehingga buang kerja.

“Selain itu, tindakan tatatertib di bawah Peraturan 37, peraturan yang sama di bawah kesalahan-kesalahan yang boleh dikenakan hukuman sehingga turun pangkat dan buang kerja,” katanya bagi sesi jawab soalan lisan ketika Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai jumlah polis yang di tahan kerana positif dadah sejak pelantikan Abdul Hamid dan adakah wajar jika masih berada di dalam perkhidmatan PDRM.

Katanya, pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) juga mengambil tindakan di bawah Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 1993 (Kelakuan Dan Tatatertib) melalui pemeriksaan sampel darah atau air kencing sebagai pengesahan kedua jika laporan patologi di dapati negatif.

“JIPS telah melaksanakan program MyPS Indah bagi program pemulihan anjuran Bahagian Agama dan Kaunseling kepada warga PDRM yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah bagi kes-kes yang tidak dituduh di mahkamah tetapi laporan ujian air kencing didapati negatif,” katanya.

Artikel Berkaitan: