Dua timbalan pendakwa raya, 15 polis ditahan di pusat hiburan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pegawai kanan dan 14 anggota polis ditahan bersama dua timbalan pendakwa raya ketika disyaki sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di Jalan Dato Sheikh Ahmad di Seremban, awal pagi Sabtu.

Serbuan dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman kira-kira jam 2.30 pagi.

Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan operasi yang dijalankan pihaknya.

"Saya sahkan pemeriksaan yang dijalankan oleh JIPS Bukit Aman dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan.

"Pemeriksaan kepada semua pengunjung pusat hiburan tersebut dibuat termasuk saringan air kencing yang dilaksanakan oleh JSJN negeri," katanya.

Difahamkan, daripada jumlah penahanan itu, hanya seorang negatif dadah hasil ujian air kencing.

Berdasarkan laporan polis yang tular di media sosial, pegawai dan 14 anggota yang ditahan itu bertugas di pelbagai jabatan termasuk Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Nilai dan Tampin, selain Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Seremban serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.

Dua timbalan pendakwa raya ditahan itu pula masing-masing bertugas di Shah Alam dan Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof turut mengesahkan serbuan berkenaan.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya tidak dapat memperincikan kes berkenaan buat masa ini.

"Saya hanya boleh sahkan ada serbuan dan pemeriksaan sahaja sebab laporan rasmi belum siap," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.