X

Kindly register in order to view this article
!

Misi bantu 8 juta perokok berhenti merokok gagal

Sharifuddin mengumumkan operasi NCIG di Malaysia bakal dihentikan selepas Forum Antarabangsa Rokok Elektronik Dari Perspektif Global di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MIECC).
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada peraturan berhubung kandungan nikotin rokok elektronik yang dibenarkan di negara ini akan memberi impak kepada masa depan industri vape di Malaysia.

Situasi itu menyukarkan pengeluar tempatan berikutan hanya boleh memperkenalkan produk cecair rokok elektronik yang dibenarkan di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif NCIG (M) Sdn Bhd, Shariffuddin Bujang berkata, justeru NCIG yang beroperasi sejak Januari lalu bakal menghentikan operasinya di negara ini dalam tempoh terdekat.

"Kami rancang menghentikan operasi di Malaysia dan mengutamakan pelaburan pasaran luar negara yang mempunyai regulasi bagi produk rokok elektronik bernikotin diluluskan terutama di United Kingdom dan Indonesia.

"Keputusan ini bukan dibuat dengan mudah kerana ia memberi impak kepada beratus pekerja NCIG di Malaysia," katanya selepas Forum Antarabangsa Rokok Elektronik Dari Perspektif Global di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MIECC) di sini.

Menurutnya, NCIG hanya akan memasarkan variasi produk sifar nikotin daripada NCIG Total Solution untuk pasaran tempatan sebagai fasa terakhir sebelum penarikan operasi di Malaysia.

"Selagi Malaysia tidak memperkenalkan regulasi terhadap kandungan nikotin dalam rokok elektronik, ini menjadi halangan buat kami bagi memenuhi misi utama NCIG untuk bantu lapan juta perokok di Malaysia berhenti merokok," katanya.

Beliau berkata, produk cecair elektronik sifar nikotin bukan penyelesaian masalah untuk Malaysia kerana ia hanya akan menggalakkan lagi orang awam terutamanya yang bukan perokok mula menggunakan vape.

"Sebaliknya, NCIG menawarkan produk rokok elektronik sifar nikotin digunakan pada fasa terakhir dalam rawatan ketagihan merokok. Disebabkan regulasi yang diguna pakai sekarang, NCIG hanya boleh memperkenalkan produk cecair elektronik yang mengandungi sifar nikotin di Malaysia," katanya.

Tambahnya, buat masa ini, cecair rokok elektronik buatan Malaysia dianggap premium di pasaran antarabangsa kerana mengandungi Glycerin Sayuran (VG) berkualiti tinggi yang diperoleh daripada minyak sawit tempatan.

"Kami menganggarkan lebih dari 50,000 tan VG digunakan setiap tahun oleh pengusaha vape tempatan dan ini adalah salah satu rahsia kejayaan jenama Malaysia di mata dunia serta menjadikan kami pengeluar cecair rokok elektronik kedua terbesar di dunia selepas USA," katanya.

Katanya lagi, industri kreatif juga bakal terjejas kerana syarikat vape menggunakan bakat anak muda tempatan bagi menghasilkan reka bentuk, pengiklanan, pembungkusan dan juga melabur dalam produk dagangan bagi tujuan promosi.

"Industri vape tempatan di Malaysia terdiri daripada pengusaha Bumiputera persendirian yang kebanyakannya mengeksport majoriti produk mereka ke luar negara dan mengupah sehingga 30,000 pekerja tempatan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus